Monday, August 10, 2009

Dasar pendidikan negara pada hari ini : adakah benar-benar relevan sebagai asas pembangunan masyarakat?

Menurut Prof. Dr. Sidek Baba dalam salah satu bukunya, “ pendidikan bukan sekadar proses transfer, atau pindah, tetapi lebih utama lagi ialah proses transform, iaitu bentuk atau bina”. Bagi memahami terma pendidikan dalam makna yang lebih luas, ada eloknya kita memerhati 2 gagasan besar yang berkaitrapat dengan pendidikan hasil renungan tajam keintelektualan 2 tokoh agung dalam Islam. Yang pertama ialah Tarbiyyah yang dipopularkan oleh Imam AsSyahid Hasan Al-Banna, sang revolusioner nasional Mesir (1906-1949). Beliau awal-awal lagi telah menyedari bahawa pendidikan (tarbiyyah) ialah langkah pertama bagi melakukan perubahan sosial. Al-Banna telah menggariskan 3 komponen pentarbiyyahan iaitu ‘aqal (intelektualisme), jiwa (spiritualisme) dan jasmani (aktivisme). Manakala pemikir agung bertaraf dunia kelahiran Nusantara, Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas memperkenalkan takdib sebagai jawapan tuntas kepada permasalahan kaum muslimin dimana beliau berpandangan bahawa segala permasalahan ummat Islam pada hari ini bertitik tolak daripada kekeliruan dan penyelewengan terhadap ilmu lantas membuahkan golongan yang tak beradab (biadap).

Sejak dahulu sampai sekarang, isu yang menyentuh soal pendidikan tidak pernah surut. Setiap tahun ada saja pihak yang berpolemik tentang halatuju pendidikan di Malaysia. Pelbagai isu berkaitan mengambil tempat. Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hasil idea Tun Mahathir sampai hari ini masih belum selesai malah semakin hangat pula sejak akhir-akhir ini. Isu pemansuhan Kementerian Pendidikan untuk digantikan dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebaik sahaja Tun Abdullah (PakLah) mengambil alih tampuk kepimpinan negara turut pernah mengundang kritikan masyarakat. Terbaru, timbul pula isu kerajaan mahu mengehadkan pengambilan subjek SPM kepada hanya 10 subjek serta BI sebagai subjek wajib lulus dalam SPM. Dari satu sudut, penulis nampak satu perkembangan positif pada keprihatinan para pemimpin Malaysia terhadap pendidikan rakyat. Ia wajar diberi penghargaan serta pujian sepatutnya kerana pendidikan sememangnya sesuatu yang asasi dalam membentuk sistem kemasyarakatan yang bersepadu.

Namun, di sana masih ada ruang kelemahan begitu besar yang mungkin tidak disedari oleh sesetengah pihak. Mengapa pengajian yang berteraskan agama tidak dititikberat malah dianaktirikan sedangkan sejarah Tanah Melayu telah mengakui bahawa kegemilangan tamadun Melayu adalah disebabkan oleh kesatuan agama Islam dengan bangsa Melayu. Ini pendapat Prof Al-Attas. Dikatakan, transformasi paling hebat telah berlaku dalam alam Melayu sekaligus membentuk jati diri, pemikiran, serta memberi ciri-ciri khusus kepada ummat Melayu yang memungkinkan terjana satu peradaban agung dan disegani dunia, tamadun Melayu-Islam di Tanah Melayu pada ketika itu. Tetapi, pada hari ini telah berputik dualisme ciptaan Barat dalam sistem pendidikan di Malaysia di mana subjek yang berasaskan agama dijadikan sebagai subjek elektif, tidak sebagai teras juga tidak sebagai subjek wajib lulus terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Tanpa sedar, proses sekularisasi peringkat nasional sedang berjalan secara halus dan cukup terancang. Maka tunggulah kehancuran tamadun Melayu-Islam jika masalah besar ini dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab.

Satu lagi kepincangan besar yang perlu diambil perhatian ialah sistem peperiksaan yang jelek. Para guru dilatih untuk memaksima penggunaan skema jawapan peperiksaan yang dirangka khas mengikut nota dalam buku teks. Maksud di sini secara mudahnya, rangka skema jawapan adalah sama seperti apa yang terdapat pada buku teks, dan pelajar mesti menjawab dengan jawapan tersebut. Sebarang jawapan yang lain daripada apa yang dinyatakan dalam buku teks dinilai salah walaupun secara rasionalnya jawapan itu adalah betul. Masalah ini tertumpu kepada soalan-soalan berbentuk subjektif. Justeru, pernah seorang pelajar terbaik SPM Malaysia menyatakan bahawa beliau amat rapat dengan buku teks bahkan menghafalnya. Lantas, budaya “exam oriented” serta “textbook oriented” sihat menggemuk dalam kalangan masyarakat mengundang penyakit sosial yang lebih berbahaya daripada selsema babi iaitu kelahiran insan-insan yang tidak mampu berfikir secara rencam, analitis apatah lagi kritis sebagai asas kepada kehancuran budaya ilmu di Malaysia sekaligus merencatkan pembangunan negara tidak mengira aspek.

Kerajaan Malaysia terutama kementerian yang bertanggungjawab langsung dengan isu pendidikan mesti melakukan muhasabah kembali (recheck) dengan menjadikan Falsafah Pendidikan Negara sebagai agenda utama untuk betul-betul difahami dan disemangati. Kajian komprehensif dan holistik keatas sistem pendidikan negara harus dilaksana dengan penglibatan tokoh-tokoh tertentu dan jika perlu, penstrukturan semula sistem pendidikan negara secara besar-besaran wajib dilakukan samada dari segi fizikal atau pun dalaman (dasar). Falsafah Pendidikan Negara mesti dijadikan sebagai asas rujukan kajian. Ini paling penting dan utama. Tidak guna mengemukakan idea-idea atau cadangan-cadangan baru jika ianya tidak selari malah bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang telah terbukti bertepatan dengan takrif ‘ilmu oleh Prof Al-Attas serta pemikir agung silam seperti Fakhruddin Ar-Razi (meninggal 1209M) dan Saifuddin Al-Amidi (1233M).

M090612, Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru, Selangor.

*artikel ini penulis hasilkan atas permintaan seorang sahabat, akhi Amirul Ghanie merangkap fasi penulis ketika program Haluan Siswa DQ 09/12. Kredit untuk beliau. Ini juga artikel pertama penulis secara serius (selepas memasuki fasa baru kehidupan khususnya dalam aspek pemikiran serta worldview). InsyaALLAH swt, artikel pertama ini menjadi pencetus momentum aktivisme penulis dalam bidang penulisan. Juga kredit istimewa untuk gen4th.blogspot.com kerana menyedia tempat untuk post, khususnya kepada Haq, presiden kita. (aku malas buat blog, hehe..)

Harap2 perkongsian ini bermanfaat dan diambil tahu oleh semua ahli2 4gen khususnya. Isu pendidikan ini sangat penting kerana ia merupakan asas pembangunan insan, masyarakat dan negara. Ini isu besar.

Ana juga ingin menyeru sahabat2 pengunjung sama2 berkongsi pandangan terhadap isu ini, dan apa2 sahaja yang kita bangkitkan di blog ini. Jadi, mohon comment..! Besar harapan ana untuk melihat blog ni menjadi satu wahana perkongsian 'ilmu antara kita.

Ana ulang ungkapan pres 4gen, "Ha.. satu lagi, barangsiapa yang ingin menjadi penulis dan nak post dalam laman ni, mesej ja ana, nanti ana akan bagi ruangan kat dalam blog ni untuk antum berkarya.. peluang keemasan ni!! "

Tunggu apa lagi satu,
Apa tunggu lagi dua,
Lagi apa tunggu tiga..!

Mari mencirikan blog kita dengan budaya 'ilmu..!

"aku hamba, aku khalifah"

1 comment: