Monday, May 18, 2009

TIDUR SIANG ARAB DAN TIDUR SIANG MELAYU.

kalau ada orang kata kita ni kuat tidoq siang membawa makna yang tidak baik..Untuk menyatakan yang kita ni malas dan segala perkara negatif...

tetapi orang arab menggunakan "kuat tidoq siang" untuk merujuk kepada orang kaya.

seperti dan peribahasa arab jenis kinayah :

"نؤوم الضحى"
(na-uum-udh dhuha)

na-uum adalah isim tafdhil naa-im(orang yang tidoq). Isim tafdhil untuk menunjukkan sesuatu yang berlebih-lebihan, maka na-uum bermaksud: orang yang kuat tidoq waktu dhuha(siang)...

bagaimana orang arab boleh menggunakan istilah kuat tidoq siang untuk orang kaya padahal orang melayu paling kuat berfahaman bahawa orang yang kuat tido siang rezeki susah datang?

sebabnya, bila orang dah kaya, dia jadi bos, lepak rumah ja la..petang2 sikit baru tgk bisnes..

kalau tak caya cuba cek sendiri, biasanya orang kaya bgn pg paling awai pkoi 11pagi...hahaha

Wednesday, May 13, 2009

Tak lapuk dek hujan Tak lekang dek panas [masalah hati]

"Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?" tanya Siti kepada rakan sebiliknya.

"Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?" balas Nur.

Keras bunyinya.
Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.
"Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!" Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.

"Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?" bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.

Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.

'KEBIJAKAN' BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU'

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus mereka kepada Allah.
Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.
Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.
"Salah ikan, bukan salah kami!" barangkali begitulah helah mereka.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'aala:

"Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka"
[al-A'araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.
"Asfala saafileen," kata al-Quran.
Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:

"Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina!"
[al-Baqarah 2: 65]

Inilah TEORI EVOLUSI CINTA. Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya menjadi kera.
Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.

BATAS PERGAULAN
Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta'aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

"..Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka" [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa'an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta'aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.
Hijab itu tafsirannya luas.
Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

Apakah tujuannya semua itu?
Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

"Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!" tegas seorang `ukhti'.

Beliau sedang `mencanak naik iman' selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.
Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta'aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.
Iaitulah soal HATI!

"Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka"
Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?
Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.
Mulut kalian tidak menyebut.
Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.
Tubuh kamu tidak menampakkan calar.
Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.
Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.
Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.
Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

[source]
Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.
Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.
ABU SAIF @ www.saifulislam. com

___________________________________________________________________
© SAIFULISLAM. COM (1998 – 2008)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam. Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam. Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM. COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam. com
56000 Kuala Lumpur


YA ALLAH BUKAKAN LAH HATI KAMI UNTUK MENERIMA AJARAN MU,MENGHAYATINYA, MENGAMALNYA,

JANGAN KAU JAUHKAN KAMI DARI NIKMAT SYURGAMU

AMIN

Monday, May 4, 2009

Adab baca Quran

Adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi:

1. Berniat ikhlas kerana Allah SWT.


2.Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.


3.Membaca dalam keadaan berwudhuk.


4.Mengadap ke arah kiblat.


5.Memulakan dengan at-Ta’awwuz.


6.Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat.Walaupun begitu bagi yang ingin mengahafaznya diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.


7.Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain.
Al-Imam al-Ghazali mengatakan jika kita bimbang akan timbul riyak iaitu ingin menunjuk-nunjuk,maka membaca secara perlahan itu lebih utama.Sebaliknya jika dapat menjaga dari timbulnya penyakit tersebut, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring.- Kitab Ihya` Ulumuddin.

8.Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.


9.Membaca dengan mentadabbur dan menangis.

Tahukah Anda!!!Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh tentang sifat Allah menurut tafsiran orang-orang kafir.Sebagai contoh orang-orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30.Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-hambaNya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maaidah.

10.Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan tentang sesuatu yang amat penting.


11.Membaca ayat-ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dahulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.


12.Beramal dengan ajaran al-Quran itu.


13.Sentiasa membaca al-Quran terutamanya pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu.
Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang-orang yang lalai”.no 2085, hadith sahih mengikut syarat Muslim

14.Berusaha menghafaz ayat-ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat-ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.


15.Meletakkan target untuk mengkhatamkan al-Quran itu..


16.Memanjatkan doa sebaik tamat dari membaca al-Quran kerana waktu itu merupakan antara waktu mustajab doa.


17.Dilarang membaca al-Quran di tempat-tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas dan sebagainya.
Menurut Qadhi Beirut al-Syeikh Ab Latif dalam kitab al-Tabyiin Fi AhkamTilawat al-Kitab al-Mubin terdapat adab-adab selain dari yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi iaitu :

18. Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup al-Hajar al-Aswad kerana ia juga merupakan hadiah Allah kepada si pembaca Al-Quran tersebut.


19. Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada al-Hajar al-Aswad.


20.Meletakkan al-Quran pada tempat yang tinggi.


21.Berusaha untuk menghayati isi al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis.