Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Yang Ku Kenali

Dia menyapa aku.. langsung aku terjaga..
Tak pernah mungkir janji.. Dia datang lagi..
Begitu tinggi adabnya dengan masa..
Begitu tinggi adabnya dengan manusia..
Takuk tertinggi..

Ramadhan yang sama tanpa beda..
Sekian lama ku kenali..
Bisa saja ku kesani dia walau ku sering melupai dia..
kerna sudah berkali-kali dia kemari..
Dua puluh kali..

Wajah yang sama tiada cela..
Dia tak jemu berbudi.. Budi Ilahi..
Dia tak lokek menghilang badi.. Badi syaitani..
Memangkin aku hampiri Sang Empunya..
Memanusia aku persis sediakala..

Ramadhan yang sentiasa sopan menyapa..
Ramadhan yang setia menabur jasa..
Aku bertanya sendiri..
Aku mahu jujur pada diri, pada dia, pada Ilahi..
Bagaimana ya aku layan dia selama ini..?


Selesai Jam0900 01 Ramadhan 1430H, Guar Chempedak.



*syarah sajak

Rangkap 1 (Ramadhan sudah tiba)

Ramadhan tiba lagi pada tahun ini. Tarikhnya-22 Ogos 2009 Masihi. Di sini aku nak jadikan ‘adab’ sebagai perkara rumus. Merujuk Prof Al-Attas, adab terdiri daripada 2 elemen utama-ilmu tntg subjek (tahu letakduduk subjek) dan pengiktirafan terhdap subjek sesuai dengan letak duduknya. Contoh : subjek = baju. Ilmu tentang baju (sebahagian kecilnya), kita tahu baju adalah untuk dipakai. Pengiktirafan pula bagaimana? Kena praktikkan. Jadikanlah baju itu sebagai pakaian, jangan dok buat lapik meja pulak..! Jadi, kembali kepada karya ini, Ramadhan datang tepat pada waktunya, iaitu setelah nampak anak bulan. Inilah yang dikatakan beradab dengan masa..! Ramadhan beradab dengan manusia kerana ia memang dikenal sebagai bulan yang menyediakan seribu fadhilat semata-mata untuk manfaat manusia. Takuk Tertinggi ? Kerana Ramadhan itu bawah takluknya ALLAHswt tanpa pilihan. Tidak macam manusia yang ALLAHswt anugerahkan juga unsur “usaha” (Ar-Ra’du:11). ALLAHswt itu Maha Mengetahui. Maha Adil. AdabNYA pada tahap paling tinggi kepada manusia.

Rangkap 2 (Ramadhan yang sama)
Dalam rangkap ini, aku nak mengungkapkan bahawa setiap muslim memang sudah sedia tahu tentang bulan Ramadhan. Contoh : datangnya setahun hanya sekali. Tempohnya sebulan. Ciri2nya serupa. Tak pernah berubah. Kenapa? Kerana Nabi Muhammad saw kan utusan terakhir. Syariah Muhammadiyyah sampai kiamat. Ini semua setiap orang Islam tahu. Kenal. 20 kali-umur aku saat karya ini dihasil. Aku akui, rangkap ini kurang dari segi nilai2 maknawi dan pemikiran. Namun, nilai2 estetika pada struktur ayatnya tetap dikekalkan.

Rangkap 3 (Rahmat Ramadhan)
Ramadhan bawa rahmat. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 ada menerangkan bahawa al-Quran, iaitu kitab yang tiada ragu padanya (al-Baqarah:2) dikaitkan dengan bulan Ramadhan secara langsung dan jelas – sekaligus menyediakan panduan tertinggi kepada ummat manusia untuk melayari kehidupan. Nah. Masih adakah rahmat yang lebih besar daripada ini ? Selain itu kedapatan juga fadhilat2 Ramadhan yang lebih familiar dengan kita, juga memberi ciri2 khusus kepada Ramadhan seperti puasa, solat tarawih, lailatul qadar dan zakat. Inilah budi Ilahi. Budi Rabbi kepada hambaNYA. Ramadhan juga manghilang badi. Aku merujuk kepada hadith saw riwayat At-Tarmizi, Ibn Majah yang menyatakan bahawa syaitan disekat ‘aktiviti seni’ mereka (“sufidatis syayatin”) serta ditutup pintu neraka (“ghuliqot abwaban nar”) sepanjang bulan Ramadhan. Kalimah “badi” itu barangkali tidak cocok dengan sesetengah orang. Ini aku pasti. Jadi supaya lebih selesa, aku ingin menjelaskan, “badi” itu aku letakkan di situ sebagai taukid ataupun hiperbola bagi menggambarkan kesungguhan syaitan dalam misinya..! Ini pasti. Mengenai kata “memanusia”, aku merujuk kepada elemen ‘ruh’ yang dikenal sebagai unsur pentakrif bagi manusia selain aqal. Oleh itu kalimah “memanusia” ini menanggap peranan Ramadhan dalam memperkasa ruh manusia atau pun hal2 rohaniah.

Rangkap 4 (Muhasabah diri)

Mengandungi sindiran berupa teguran, juga peringatan untuk pembaca. Sebenarnya, ini ide pokok yang menari-nari di minda aku. Ini yang hendak aku sampaikan. Niat aku. Matlamat aku. Di sini klimaksnya. Biar aku jelaskan. Begini alirannya dari hulu hingga ke muara. Rangkap 1 aku menjelmakan premis ‘Ramadhan sudah tiba’ diikuti rangkap 2 bagi menggambarkan perangai kita yang menyambut ketibaan Ramadhan itu dengan biasa-biasa saja dek kerana kurang penghayatan padanya selain terpedaya/terkena/terjerat oleh tabiat Ramadhan yang datang berulangkali. Rangkap 3 aku mahu refresh atau melepaskan minda kita yang terjerat itu dengan mengajak pembaca menghayati/menyemangati/memahami falsafah Ramadhan melalui medium “targhib”. Serupa kaedah yang digunakan oleh pergerakan Jemaah Tabligh yakni menaikkan ghairah untuk beramal dengan menceritakan kelebihan2 amal tersebut. Cara ini cukup simple dan berkesan. Lihat saja, betapa ramai ahli2 Jemaah tabligh pada hari ini. Merentas benua. Rangkap akhir, rangkap puncak. Aku harap pada peringkat ini pembaca sudah mula terpesona dengan keanggunan Ramadhan (2 ayat pertama), aku ulang sekali lagi kebaikan Ramadhan pada 2 ayat pertama rangkap 4 ini bagi mengekalkan momentum itu lantas segera menggesa pembaca supaya merenung kembali ke dalam diri sebagai penamat muktamad yang tegas sifatnya. Sebab itu aku akhirkan dengan satu bentuk ayat yang berlainan iaitu ayat pertanyaan. Tidak lupa unsur ‘membalas jasa’ sebagai perisa tambahan.

Selesai.Mohon komen ya.

jam1528,01Ramadhan1430H.
Guar Chempedak,Kedah.

"Aku hamba,aku khalifah"