Friday, February 25, 2011

Anda Mahasiswa Bengong ??? Anda konco iblis ??

Aku cabar generasi keempat Maahad Yan MEMAHAMI artikel ini, kerana dengar katanya keluaran Maahad Mahmud ni hebat-hebat belaka!



WARKAH
(Siri 1 : Mahasiswa, Iblis & ‘PemBENGONGan’)

“aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di atas muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.”

(Qs. Al-A’raf : 146)
SAUDARA-SAUDARI YANG BUDIMAN,

Ivan Illich dalam karyanya, “Deschooling Society”, dengan keras mengkritik institusi pendidikan yang telah hilang fungsi ‘mendidik’. Malah, fungsi ‘mendidik’ itu telah bertukar kepada ‘mengelirukan’. Menurut beliau:
“the pupil is thereby ‘schooled’ to confuse teaching with learning, great advancement with education, a diploma with competence, a fluency and the ability to say something new. His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value”

Kebobrokan (kerosakan) “bawah sedar” berlaku dalam sosio-intelek masyarakat kampus. Mahasiswa selaku ‘watak utama’ dalam perbenturan (clash) dengan puak yang menjadi ‘penguasa (authority) institusi pendidikan’; tetapi mereka (authority) mempunyai niat buruk yang dimanifestasikan melalui tindakan-tindakan mereka yang menindas mahasiswa demi mencapai cita-citadiablotis (ke-iblis-an) mereka. Golongan penguasa berjiwa haiwan ini akan kita kenali selepas ini sebagai al-Mustakbirun.

SAUDARA-SAUDARI; YANG MERUPAKAN WATAK UTAMA MAKALAH INI,

Tanpa sedar, pelajar atau mahasiswa, disogok dengan nilai-nilai ‘yang dianggap sah’ oleh golongan al-Mustakbirun (iaitu segelintir kelompok elit dalam masyarakat yang menyombongkan diri). Mahasiswa menjadi kelompok yang ‘dilemahkan’ (al-Mustadh ‘afun); dibenam sisi kekuatannya dan sebaliknya, sisi kelemahannya dibangkitkan. Masyarakat mahasiswa yang kini seakan-akan “robotized and machinized society” sudah lama lupa dan lalai (al-ghaflah) akan tanggungjawabnya sebagai ‘kelompok intelektual berfungsi’ yang menjadi agen perubahan yang signifikan. Dalam kata lain, masyarakat mahasiswa hari ini sudah mula terkesan dengan program pembengongan sistematik oleh golongan al-Mustakbirun yang punya kepentingan diablotisnya. Maka, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa golongan al-Mustakbirun ini sedang merancang suatu bentuk transformasi social-intelek ke atas golongan mahasiswa, menjadikan mereka (mahasiswa) golongan lalai dan membentuk mereka menjadi sebuah “masyarakat bengong”.

Secara psikologinya, ‘masyarakat bengong’ mengalami penyakit jiwa (korupsi psycho-spritual-intelektual) yang kronik. Penyakit jiwa ini menghalang mereka daripada menyaksikan hakikat kebenaran. Akal dan daya intelek mereka menjadi songsang menyebabkan mereka menilai ‘kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebenaran’. Perkara ini disentuh melalui analisa sufistik oleh Ibn Qayyim yang terakam dalam karyanya “al-Wabilu s-Sayyib mina l-kalimi t-Tayyib”

“…kalau sekiranya hati berkarat, maka gambaran-gambaran maklumat yang terakam padanya tidak akan menepati realitinya yang sebenar, justeru, ia akan melihat kebatilan sebagai benar dan kebenaran sebagai kebatilan…. Maka, ia tidak lagi menerima kebenaran dan tidak mahu menafikan kebatilan. Ini merupakan sebesar-besar hukuman bagi hati (a’ zami ‘uqubat al-qalbi). Puncanya ialah kelalaian dan mengikut hawa nafsu, maka kedua-duanya memadamkan cahaya hati dan membutakan pandangannya…”

Allah Ta’ala berfirman,

“… dan janganlah kamu mematuhi orang yang lalai hatinya daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran…” (surah al-Kahfi : ayat 28)

Itulah antara ciri-ciri masyarakat yang telah dilemahkan. Cuba saudara-saudari buat penilaian ciri-ciri yang tersebut dengan masyarakat mahasiswa hari ini. Saudara-saudari nilaikannya sendiri.


SAUDARA-SAUDARI YANG PRIHATIN,

Beralih pula kepada kelompok elit lagi sombong yang lalai dan mengikut hawa nafsu ini; dikenali sebagai al-Mustakbirun. Mereka cuba menjadikanpendidikan sebagai suatu wahana keuntungan fizikal (education as a tool for physical beneficial) melalui institusi pendidikan. Proses‘komersialisasi’ yang beranak dari fahaman sesat kapitalisme ini sudah pasti merobah keseluruhan pandangan tentang makna, tujuan dan fungsi pendidikan. Pendidikan sebagai ‘sumber menjana kekayaan’ ini diakui oleh perspektif pendidikan Teori Konflik;

“Pendidikan dipersepsikan sebagai sebahagian super-struktur yang digunakan oleh kaum kapitalis bagi tujuan-tujuan ekonomi. Persaingan dalam memperoleh kedudukan ekonomi menjadi punca konflik dalam masyarakat”

Jadi, menurut Teori Konflik, pendidikan adalah proses langsung re-produksi sistem yang sedia wujud dan yang paling utama, pendidikan membantu mengekalkan pengembangan sistem ekonomi kapitalis yang menindas.

Segalanya berkenaan ‘duit’ (everything is about money). Kaum Mustakbirun yang biadab ini sanggup mengorbankan segalanya termasuk Agama, Bangsa dan Tanah Air demi entiti yang namanya ‘duit’. Aspirasi dan cita-cita besar ummat yang berusaha membina semula Tamadun Khayra Ummah (ummat yang terbaik:/ Rujuk al-Quran surah ali-‘Imran; ayat 110) melalui penubuhan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa yang Islamik habis punah dengan penguasaan manusia-manusia rakus berjiwa syaitan.


SAUDARA-SAUDARI YANG PERCAYA KEPADA KEBENARAN,

Apakah saudara-saudari selaku mahasiswa (yang merupakan watak utama dalam makalah ini) sanggup berdiam diri dan terus menjalani proses pembodohan dan pembengongan oleh Kaum Mustakbirun syaitan ini? IPT Islami yang sebenarnya ditubuhkan hasil perjuangan mahasiswa dan rakyat ini perlu dipertahankan! (rujuk sejarah perjuangan mahasiswa dalam menuntut penubuhan IPT Islami di Malaysia) Apakah saudara-saudari mahu melihat IPT hasil pengorbanan, suka-duka, titik peluh, dan air mata rakyat ini terus menderita kesakitan dan menjadi bebanan kepada Ummat Islam keseluruhannya? Apakah saudara-saudari mahu bersubahat dengan Para Syaitan Mustakbirun untuk meruntuhkan agama demi tujuan diablotis mereka?

Ah! Sudah! Kami tak rela dibodohkan! Kami tak rela dirobotkan! Kami tak mahu diperalatkan! Kami tak sanggup bersubahat! Kami cintakan keadilan! Kami cintakan KEBENARAN! Kami akan berjuang sehingga datang janji Allah. Kami akan sepenuh hati berusaha mengeluarkan manusia daripada dzulumat (kegelapan-kegelapan) kepada Nur (cahaya) dengan izin dan bantuan Ilahi.

Seorang tokoh intelektual Muslim, al-Marhum Prof. Ismail Faruqi pernah menyebut,

“The person with a role that is relevant to us here is the person with a cause. The person with a cause is a person who have vision (idealism)….”

Kami akan bertindak, berbekalkan idealisme mahasiswa yang sejati. Idealisme yang menyedari hakikat kewujudannya dan kewajipannya dalam menunaikan Hak Ta’ala dan hak selain-Nya, memperjuangkan kebenaran tanpa mengharap habuan material-duniawi : seperti pangkat & sanjungan, harta & kemewahan melainkan redha dan janji-janji-Nya. (berhati-hati; jangan terpedaya dengan seruan palsu yang ber-atas-nama-kan ‘mahasiswa’) Seruan penulis kepada saudara-saudari; fikir-fikirkan! Dan bertindak mengikut kemampuan masing-masing. Kerana semua orang punya potensi tersendiri dan penulis yakin dengan potensi manusia kerana ia salah satu anugerah Tuhan.

WalLahu Ta’ala A’lam

- Aku ambil dari tulisan peminggirkota.

Saturday, January 8, 2011

Ibu Tersayang

Puisi ini merupakan karya Rahman Shaari. Puisi yang wajib direnung anak-anak rantau, lebih-lebih yang jarang sangat balek rumah! Oh ibu..engkaulah ratu hatiku!


Kita ada ibu
ibu kita satu
pesanannya beribu-ribu.

Setiap langkah kita diiringi pesanan ibu
"buat begini jangan begitu
bacalah buku selalu
kukuhkan diri dengan ilmu
pilihlah kawan yang mulia hati
tolaklah kawan pementing diri
pilihlah kawan yang yang punya petunjuk
tolaklah kawan penagih rokok."
ibu yang satu menyekat kita di pintu
bertanya ke mana arah tuju
"jagalah diri selalu
di luar sana mungkin bencana menunggu."

 
 Kita menjadi jemu
mendengar pesanan ibu beribu-ribu
tapi ibu tetap ibu
 
pesanan bertambah satu dan satu 
"jangan dibiar kepala berkutu
carilah ubat jerawat batu."

 
Suatu senja 
seorang temanku merintih
kerana kehilangan kekasih
kini baru disedarinya
pilihan musang berbulu arnab
biarpun menyamar cekap
ada masa masuk perangkap

Si bedul sudah ditangkap
Si Bedul masuk lokap

Dia menyatakan kesalnya
kerana dia alpa
ibunya berpesan sejak dulu
"pilihlah kawan yang bermutu
jang dipilih kawan berhantu"

Mengenangkan nasib temanku itu
aku merindui pesanan ibu
Ya, pesanan ibu.

Ibu, 
kuyakini kau mengenali
yang mana permata, yang mana kaca
yang mana budaya, yang mana buaya
berilah pesanan beribu-ribu
malah berpuluh ribu
aku tidak akan jemu
ini janjiku kerana aku tahu
sempurna seorang ibu
dengan pesanan beribu-ribu.   

Friday, August 27, 2010

Hayati Sajak : Ramadhan Untuk Orang Hidup


Pesanan : Mesti hayati, bukan baca sepintas lalu! 

Ramadhan yang tidak berusia
menjelma lagi
Satu anugerah besar Ilahi
buat manusia
pemilik usia
semakin tua, nak mati...
Amat malang manusia
Andai tidak mengendahkan Ramadhan
Kali ini.
Kerana manusia ada usia.
Dia akan mati.
Dia akan mati.
Dia akan mati.
Ramadhan terus hidup.
Terus hidup
untuk manusia bernyawa,
bukan untuk orang mati!
 
 

Tuesday, June 29, 2010

Ada Juga Orang Kata Ummah Melayu Kuasa Baru Dunia Abad ke-21

Pada dasarnya, orang Melayu adalah pemalas, orang cina adalah pencuri. Dan orang India adalah pemabuk; namun masing-masing dalam kelompok pekerjaan khususnya, murah dan cekap apabila betul-betul diawasi.” -C.G. Warnford-Lock, 1970, Mining in Malaya for Gold and Tin.


Melayu bangsa pemalas. Itu orang putih kata. C.G. Warnford merupakan seorang orientalis. Saya petik rangkaian kata di atas daripada Milenia Muslim.

Ada yang rajin, seperti kelompok nelayan, petani dan pesawah yang saban hari tekun bekerja. Namun, mereka berpikiran sejengkal macam mata kail kerana hanya mengikut skema pekerjaan tanpa berdaya maju.

Melayu bangsa bumiputra. Melayu kaum konstitusi. Justru itu, Melayu lebih suka bergantung, tidak mandiri, makan disuap. Melayu hanya setakat bekerja bawah orang dan selesa berkampung ramai-ramai di bawah ketiak kerajaan, tidak cenderung membina kerjaya sendiri apatah lagi mengurus kerjaya orang. Melayu hamba yang mengikut kata kapitalis kelas atas.

Pelajar Melayu kuat tidur (kerana cepat bosan mengaji katanya) lantaran tidak menyemangati falsafah pendidikan negara (yang memang tidak diperhayat oleh kerajaan sendiri pun). Sebaik habis kelas terus masuk tidur atau menyambung angan, sementara menunggu minggu peperiksaan, sementara menunggu hari konvo, sementara tiada tugas membuat resume. Melayu menjadi mangsa sistem pendidikan orang putih yang membengongkan. Kesannya, Melayu semakin hilang daya ta’kulnya.

Melayu bangsa penagih politik sarkas (meminjam Nobisha) dan politik pragmatis-realis, politik yang kosong daripada makna humanitarian seta nilai-nilai ruhaniy samawi. Mungkin boleh juga disebut sebagai politic-centric. Setiap hari Melayu menghabiskan masanya dengan berlawan sesama sendiri. Pilihanraya bermula berma’na gelanggang free fight peringkat final mulai dibuka. Pihak sini menyerang, pihak sana bertahan. Begitulah sebaliknya. Kanak-kanak Melayu pada hari ini pun tahu dan biasa dengan kalimah-kalimah seperti BN, PKR, PAS, ia manjadi perbualan dalam kalangan mereka malah merupakan budaya hiburan baharu di tanah air kita.

Melayu hilang arah. Tembak budak kecil, buang anak kecil dan berlambak salahlaku sosial lain. Harian Metro tidak pernah kekeringan berita. Melayu hina dan dihina oleh Melayu juga di media. Pemuda Melayu merupakan bidan lahirnya istilah rempit dan merempit. Gadis Melayu pula gilakan mat indon, mat bangla. Mungkin kerana pemuda Melayu semuanya malas lalu ia mengurangkan macho, lebih baik pilih mat bangla dan indon yang rajin bekerja.

Di tanah tumpah darah moyang Tuah, Melayu terhina di hadapan semua kaum terutama Cina dan India sedangkan bangsa-bangsa itu tidak lebih daripada sekadar kaum pendatang dan Melayu pula tuan.

Ada orang Melayu dengan bersemangatnya berkata ,“takkan Melayu hilang di dunia!”. Memang, Melayu ada banyak lagi dan sentiasa bertambah bilangannya sama ada di Indonesia, Malaysia, Brunei dan seluruh nusantara. Di Pattani pun masih ada walau tertindas dan tampak kian berkurangan.

Melayu tidak akan hilang jasad dan keturunannya, cuma hilang ruh dan citra aslinya. Dunia berkembang membawa modeniti dan modenisme malah sudah pun pascamodenisme ketika ini. Baratlah pemacunya selaku kuasa dunia utama. Pandangan alam Barat mendominasi dunia, mempengaruhi budaya serata bangsa dan agama. Melayu-Islam termasuk sama.

Melayu hari ini ialah Melayu yang keliru, kabur, tercari-cari identiti. Kita mahu Melayu yang bagaimana, Melayu gaya siapa? Zaid Ibrahim? Ibrahim Ali? Mahathir Mohamad? Melayu UMNO? Melayu PAS? Atau Melayu Al-Attas? Melayu kepeningan.

Melayu menderita penyakit kekacauan identiti. Melayu tak suka dan segan-segan memakai baju telok belanga dan baju kurung. Melayu lebih cenderung memakai pakaian yang katanya trendy.

Melayu tak ingin pun mencari dirinya yang terkenal perkasa pada suatu hari.

Melayu tak pernah pun menyelak Sulalatus Salatin yang dibawa susah-payah intipatinya dari Goa.

Melayu masa kini sedang meniti hari-hari sepi. Entah apa nasib Melayu di hari muka?

Melayu benar-benar kehilangan saktinya!

Hilmy Bakar Almascaty, seorang wartawan bebas dan merupakan anggota Forum Diskusi Pemuda ASEAN (Malaysia) pernah menulis sebuah buku yang diterbitkan pada 1994 bertajuk : UMMAH MELAYU KUASA BARU DUNIA ABAD KE-21.
 
# dipetik daripada kantapembesar.blogspot.com

Saturday, May 22, 2010

Kepada Semua 'Ilmuwan Muda', Tolong Baca!

IMAMUNA AS-SYAFIE r.a. merupakan seorang ulamak ulung dunia Islam. Tersohor beliau dalam bidang agama dengan antara sumbangan terbesarnya dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam ialah mempelopori disiplin ilmu Usul Fiqh (iaitu ilmu metodologi pengistinbatan hukum). Kitab beliau Ar-Risalah memperkenalkan usul fiqh dalam kerangka yang sistenatik sehingga layak diangkatnya sebagai salah satu disiplin ilmu penting dalam Islam.

Imam Syafie, ilmuwan yang saya yakin benar-benar asli dalam erti kata mengikut jalur keilmuan Islam (Islamic epistemology) yang sebenar. Ini boleh kita lihat pada pengiktirafan kelompok besar umat lebih-lebih lagi golongan ilmuan terhadap ‘kebesaran’ beliau. Malah, autoriti al-Imam dalam ilmu Usul membuktikan kedalaman dan kehebatannya dalam bidang pemikiran / falsafah.

Syair-syair as-Syafie yang sangat masyhur kerap kali mengungkapkan perihal ilmu (hakikat) dan penerima ilmu (pentafsir ilmu). Diwan as-Syafie, antara kitab syair beliau. 

Syair yang mengandungi nasihat dan panduan  menyangkut soal ilmu adalah tersangat penting buat barangsiapa yang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat, kuat membaca, dan yang katanya telus mencari yang mana satu benar. Terlebih utamanya dan banyak mutakhir ini menjelma dalam kalangan pemuda - yang masih muda pemikirannya, boleh juga ditafsir sebagai kurang tahu persolan ‘ilmu’ sebagai satu subjek yang mulia dan tinggi martabatnya dalam islam.

Kuat membaca?

Ulamak-ulamak terdahulu terutamanya di zaman keemasan islam (iaitu 'asr abbasiah) banyak membincangkan epistemologi (faham ilmu) dalam kitab-kitab terkenal mereka.

Ulamak hari ini, yang menyentuh secara mendalam soal penting ini digolongkan sebagai pemikir atau ahli falsafah, justeru itu lebih jauh dan tidak familiar dengan masyarakat awam. Kesannya, soal faham ilmu ini tidak berkembangbiak dalam kalangan kita sebagaimana ilmu-ilmu lain. 

Kata Al-Attas, akar (punca utama) permasalahan umat Islam pada hari ini ialah kekeliruan dalam menanggap ilmu. Kesannya, kelahiran segolongan besar umat yang tidak beradab.

Golongan tak beradab itu memang benar-benar menjelma pada hari ini. Cukup banyak : iaitu - secara umum - orang-orang yang tidak matang dalam berhujah ( yang mengikut emosi), cepat prejudis, cepat mengikut hawa nafsu, terlalu skeptik dengan yang setentang, terlalu taksub dengan yang sebulu.

Lebih berat, golongan high-class yang terlalu yakin dengan pandangan (atau aliran) yang diikuti, walaupun sah berlawanan habis dengan aliran utama tradisi keilmuwan Islan yang didominasi oleh ulamak-ulamak muktabar. Sebagai contoh : golongan anti-hadith, syiah (terutamanya dalam aqidah), dan aliran liberal yang pelbagai cabang itu. 

Rangkaian syair As-Syafie boleh dijadikan panduan berguna. Lebih pragmatis dengan zaman ini, mesti rujuk Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Saya tidak tahu ada manusia lain selain beliau di zaman ini yang membincangkan secara serius soal ini. 

Kepada ulamak akhir zaman, termasuk ulamak politik,
Iintelektual yang dengarnya bijaksana,
Mufti, lantang atau tidak lantang,
Penceramah-penceramah jemputan,

dan yang diraikan,
‘para ilmuwan muda’ bersemangat berapi-api,

Sila fahami terlebih dahulu,

APA ITU ILMU secara mendalam dan halus,

sebelum keluar menemui masyarakat sebagai "ustaz", "mufti", "prof.", "dr." dan lain-lain panggilan hormat kepada orang 'berilmu'.

kanta.pembesar : "Ilmu itu bukan semudah mencari dalil dan maklumat dalam kitab/buku di perpustakaan, kedudukannya tersangat tinggi dan mulia menandakan kepayahan mencapainya"

- dipetik dengan izin daripada kantapembesar.blogspot.com.