Sunday, November 29, 2009

Buat teman2 pejuang Islam, inilah luahan hatiku...

Assalamu’alaikum wbt..

Saya berkehendak sangat untuk menghadirkan sebuah coretan khas untuk sahabat2 yang mendakwa diri sebagai pejuang agama, pendokong harakiy, dan pengikut  Al-Banna. Saya mengaku saya juga salah seorang ahli gerakan Islam di tanah air tercinta. Jadi, minda yang mencetuskan ini terlebih dahulu mengambil pengajaran daripadanya.

Pada pengamatan saya, tidak sedikit daripada pejuang2 muda Islam pada hari ini yang sudah melencong daripada matlamat asal perjuangan. Mereka kehilangan citra juga ruh perjuangan. Ada matlamat lain yang menghuni hati, malah apa yang lebih memalukan ialah seorang pejuang yang sangat lantang bicaranya di pentas-pentas pidato namun kontang jiwanya daripada dasar asal perjuangan.

Apa katanya?
Katanya diri pejuang harakiy, istilah “harakiy” tidak diketahui maknanya.
Katanya kita mesti mencontohi Al-Banna, 10 rukun baiah tidak disemangatinya. Katanya Ikhwanul Muslimin itu hebat amat, namun kekuatan hakiki parti itu tidak pernah diketahui dan diinsafinya.

Krisis pemesongan matlamat ini tampak mendominasi minda sebahagian besar rakan2 di gerakan2 mahasiswa terkenal seperti PKPIM dan GAMIS iaitu dua gerakan mahasiswa terbesar di Malaysia. Ini betul2 berlaku. Lebih malang, ia umpama barah yang seakan-akan sudah pun mencapai peringkat paling kritikal antara tingkatan-tingkatannya. Percayalah.

Prinsip-prinsip asas Islam seperti “amar ma’ruf nahi munkar” serta “Islam mendatangkan maslahah, menolak mafsadah” juga “matlamat tidak menghalalkan cara” tidak lagi menjadi kayu ukur kita dalam mengayuh perjuangan suci. Bukankah prinsip2 ini adalah penilaian pertama sebelum kita melaksana sesuatu tindakan?

Mengapa kita rela mengorbankan hal2 asasi ini demi mencapai objektif2 sisi yang lahir daripada justifikasi2 yang tidak menempati ruang konteksnya dengan saksama? Janganlah mendungukan diri sendiri.

Jangan bimbang, tulisan ini umum sifatnya. Saya tidak akan mendedahkan sebarang isu secara analitis di ruang ini pada ketika ini atas alasan2 tertentu.

Cukuplah begini dahulu;

Saya kata kepada mereka, pada hakikatnya kita tidak tahu, tidak mahu ambil tahu dan tidak faham asas2 agama Islam dan perjuangan. Kita jadi pejuang sumbang, yang rakus merobek agama dari ruang dalam.

Buat teman2 satu bahtera perjuangan yang masih punya hati yang mahu berubah, serta aqal yang mahu berfikir;

Nasihat saya kepada mereka, kamu semua tidak dapat tidak mesti pastikan mindamu dalam keadaan bebas (pemikiran bebas) sebelum anak matamu menyentuh kulit luar sebarang bahan bacaan dan terowong telingamu membenarkan kemasukan sebarang butir bicara sesiapa pun. Maksud saya, kamu berada dalam keadaan tidak dibelenggu sebarang doktrin yang mengikat pemikiran kamu sebelum2 ini. Jika tidak, kamu yang punya penyakit “matlamat terpesong” akan terus menderita kesakitan kerana kamu enggan mencuba sebarang penawar pun, tanggapanmu penyakitmu itu bukan penyakit, jadi ubat tidak perlu!

Apa yang kita perlu lakukan kemudiannya;

Tolonglah kuasai teori2 asas perjuangan kerana ia merupakan ruh perjuangan itu sendiri. Jasad tanpa ruh, tempatnya jauh di bawah permukaan bumi. Jangan jadi seperti mayat yang tidak ditanam, menyusahkan orang dengan baunya. Pejuang tanpa ruh perjuangan tidak mendatangkan apa2 kepada agama melainkan kerosakan yang nyata.         

Semua ini tidak mungkin dicapai kecuali melalui jalan ilmu. Ilmu pula dicapai melalui jalan pendidikan atau pun disebut sebagai tarbiyyah apabila kita sedang berbicara dalam konteks harakiy.

Malangnya, saya melihat rata2 ahli gerakan mahasiswa pada hari ini tidak beraksi sebagai orang2 yang menerima tarbiyyah secukupnya. Saya berpandangan (dengan asas2 yang kuat) bahawasanya faktor terbesar keadaan ini terjadi ialah berlakunya kekeliruan besar pada soal tarbiyyah dalam gerakan itu sendiri.

Oleh itu, apa yang kita mampu lakukan buat masa ini ialah berusaha sendiri untuk mencari kebenaran. Jangan harapkan sangat tarbiyyah dalam gerakan, kerana ia benar2 sudah tidak dipandang utama. Biar sunyi sepi menjadi si pencari tahu, lebih baik daripada menjadi pemidato mengarut sana-sini.    

Saya akui budaya lingkungan punya pengaruh kuat bagi membentuk diri seseorang. Ini ada disebut oleh pemikir Malek Bennabi. Namun, seorang pemuda yang benar2 berjiwa besar dan ikhlas ingin berjuang tidak akan ternoda dek kelemahan2 persekitarannya. Malah dia menguasai lingkungan dan mencorakkannya mengikut acuan kefahamannya!

Ingatlah wahai teman2 yang saya sangat2 sayangi, ilmu ialah unit paling kecil bagi membina pemikiran. Pemikiran berperanan menentukan sikap, tingkahlaku dan tindakan seseorang. Manakala akhlaq islami pula ialah buah ranum yang amat lazat, keadaannya sedang menanti untuk dipetik dan dinikmati.

Saya memohon seribu kemaafan andai ada hati yang terhiris dengan coretan ini. Tegurlah saya pada bila2 masa. Tiada guna bekerja dalam satu jemaah andai tiada tradisi tegur-menegur dan rasa mahu berubah.

Sekian. Mudah-mudahan ada manfaat bersama.


“aku hamba,aku khalifah” 


Selesai :
Pada pukul 2.26 pagi, Ahad 29/11/2009M.
Di Guar Chempedak Kedah.