Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Yang Ku Kenali

Dia menyapa aku.. langsung aku terjaga..
Tak pernah mungkir janji.. Dia datang lagi..
Begitu tinggi adabnya dengan masa..
Begitu tinggi adabnya dengan manusia..
Takuk tertinggi..

Ramadhan yang sama tanpa beda..
Sekian lama ku kenali..
Bisa saja ku kesani dia walau ku sering melupai dia..
kerna sudah berkali-kali dia kemari..
Dua puluh kali..

Wajah yang sama tiada cela..
Dia tak jemu berbudi.. Budi Ilahi..
Dia tak lokek menghilang badi.. Badi syaitani..
Memangkin aku hampiri Sang Empunya..
Memanusia aku persis sediakala..

Ramadhan yang sentiasa sopan menyapa..
Ramadhan yang setia menabur jasa..
Aku bertanya sendiri..
Aku mahu jujur pada diri, pada dia, pada Ilahi..
Bagaimana ya aku layan dia selama ini..?


Selesai Jam0900 01 Ramadhan 1430H, Guar Chempedak.



*syarah sajak

Rangkap 1 (Ramadhan sudah tiba)

Ramadhan tiba lagi pada tahun ini. Tarikhnya-22 Ogos 2009 Masihi. Di sini aku nak jadikan ‘adab’ sebagai perkara rumus. Merujuk Prof Al-Attas, adab terdiri daripada 2 elemen utama-ilmu tntg subjek (tahu letakduduk subjek) dan pengiktirafan terhdap subjek sesuai dengan letak duduknya. Contoh : subjek = baju. Ilmu tentang baju (sebahagian kecilnya), kita tahu baju adalah untuk dipakai. Pengiktirafan pula bagaimana? Kena praktikkan. Jadikanlah baju itu sebagai pakaian, jangan dok buat lapik meja pulak..! Jadi, kembali kepada karya ini, Ramadhan datang tepat pada waktunya, iaitu setelah nampak anak bulan. Inilah yang dikatakan beradab dengan masa..! Ramadhan beradab dengan manusia kerana ia memang dikenal sebagai bulan yang menyediakan seribu fadhilat semata-mata untuk manfaat manusia. Takuk Tertinggi ? Kerana Ramadhan itu bawah takluknya ALLAHswt tanpa pilihan. Tidak macam manusia yang ALLAHswt anugerahkan juga unsur “usaha” (Ar-Ra’du:11). ALLAHswt itu Maha Mengetahui. Maha Adil. AdabNYA pada tahap paling tinggi kepada manusia.

Rangkap 2 (Ramadhan yang sama)
Dalam rangkap ini, aku nak mengungkapkan bahawa setiap muslim memang sudah sedia tahu tentang bulan Ramadhan. Contoh : datangnya setahun hanya sekali. Tempohnya sebulan. Ciri2nya serupa. Tak pernah berubah. Kenapa? Kerana Nabi Muhammad saw kan utusan terakhir. Syariah Muhammadiyyah sampai kiamat. Ini semua setiap orang Islam tahu. Kenal. 20 kali-umur aku saat karya ini dihasil. Aku akui, rangkap ini kurang dari segi nilai2 maknawi dan pemikiran. Namun, nilai2 estetika pada struktur ayatnya tetap dikekalkan.

Rangkap 3 (Rahmat Ramadhan)
Ramadhan bawa rahmat. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 ada menerangkan bahawa al-Quran, iaitu kitab yang tiada ragu padanya (al-Baqarah:2) dikaitkan dengan bulan Ramadhan secara langsung dan jelas – sekaligus menyediakan panduan tertinggi kepada ummat manusia untuk melayari kehidupan. Nah. Masih adakah rahmat yang lebih besar daripada ini ? Selain itu kedapatan juga fadhilat2 Ramadhan yang lebih familiar dengan kita, juga memberi ciri2 khusus kepada Ramadhan seperti puasa, solat tarawih, lailatul qadar dan zakat. Inilah budi Ilahi. Budi Rabbi kepada hambaNYA. Ramadhan juga manghilang badi. Aku merujuk kepada hadith saw riwayat At-Tarmizi, Ibn Majah yang menyatakan bahawa syaitan disekat ‘aktiviti seni’ mereka (“sufidatis syayatin”) serta ditutup pintu neraka (“ghuliqot abwaban nar”) sepanjang bulan Ramadhan. Kalimah “badi” itu barangkali tidak cocok dengan sesetengah orang. Ini aku pasti. Jadi supaya lebih selesa, aku ingin menjelaskan, “badi” itu aku letakkan di situ sebagai taukid ataupun hiperbola bagi menggambarkan kesungguhan syaitan dalam misinya..! Ini pasti. Mengenai kata “memanusia”, aku merujuk kepada elemen ‘ruh’ yang dikenal sebagai unsur pentakrif bagi manusia selain aqal. Oleh itu kalimah “memanusia” ini menanggap peranan Ramadhan dalam memperkasa ruh manusia atau pun hal2 rohaniah.

Rangkap 4 (Muhasabah diri)

Mengandungi sindiran berupa teguran, juga peringatan untuk pembaca. Sebenarnya, ini ide pokok yang menari-nari di minda aku. Ini yang hendak aku sampaikan. Niat aku. Matlamat aku. Di sini klimaksnya. Biar aku jelaskan. Begini alirannya dari hulu hingga ke muara. Rangkap 1 aku menjelmakan premis ‘Ramadhan sudah tiba’ diikuti rangkap 2 bagi menggambarkan perangai kita yang menyambut ketibaan Ramadhan itu dengan biasa-biasa saja dek kerana kurang penghayatan padanya selain terpedaya/terkena/terjerat oleh tabiat Ramadhan yang datang berulangkali. Rangkap 3 aku mahu refresh atau melepaskan minda kita yang terjerat itu dengan mengajak pembaca menghayati/menyemangati/memahami falsafah Ramadhan melalui medium “targhib”. Serupa kaedah yang digunakan oleh pergerakan Jemaah Tabligh yakni menaikkan ghairah untuk beramal dengan menceritakan kelebihan2 amal tersebut. Cara ini cukup simple dan berkesan. Lihat saja, betapa ramai ahli2 Jemaah tabligh pada hari ini. Merentas benua. Rangkap akhir, rangkap puncak. Aku harap pada peringkat ini pembaca sudah mula terpesona dengan keanggunan Ramadhan (2 ayat pertama), aku ulang sekali lagi kebaikan Ramadhan pada 2 ayat pertama rangkap 4 ini bagi mengekalkan momentum itu lantas segera menggesa pembaca supaya merenung kembali ke dalam diri sebagai penamat muktamad yang tegas sifatnya. Sebab itu aku akhirkan dengan satu bentuk ayat yang berlainan iaitu ayat pertanyaan. Tidak lupa unsur ‘membalas jasa’ sebagai perisa tambahan.

Selesai.Mohon komen ya.

jam1528,01Ramadhan1430H.
Guar Chempedak,Kedah.

"Aku hamba,aku khalifah"

Thursday, August 20, 2009


Kritikan W.S. Rendra ke atas bangsa sendiri : Satu counterattack terhadap faham pascamodenisme di Indonesia


Salam Takziah buat keluarga Wahyu Sulaiman Rendra.


almarhum WS Rendra


Minggu lepas dalam Sinar Harian aku terbaca berita tentang kematian Wahyu Sulaiman Rendra. Teringat sesuatu. Ya. Beliau pernah menghasilkan sajak yang mencengangkan sepertimana yang disinggung oleh Dr. Siddiq Fadzil dalam satu sesi ceramah di Masjid Sultanah, Alor Star sekitar 2008. Ketika itu, Ustaz Siddiq berbicara soal kemerdekaan. Seingatku, Ustaz Siddiqlah individu pertama yang memperkenalkan WS Rendra kepada aku. Terima kasih ustaz..! Rasa beruntung dapat mengenali insan seni berjiwa kritis ini walaupun tidak pernah bersua muka secara langsung. [Maklumat lanjut tentang arwah Rendra-klik sini]


Seperti yang diingatkan oleh Faisal Tehrani, para penyajak menjadikan karya2 mereka sebagai wahana untuk mengkritik lingkungan dalam kebanyakan masa. Inilah fungsi sebenar sajak. Berkenaan karya Rendra itu, intipatinya menuju ke arah premis : ‘Bangsa Indonesia belum merdeka’. Memang mencengangkan orang kerana Indonesia ialah sebuah negara yang cukup susah untuk mendapat kemerdekaan (kebebasan fizikal daripada penjajah). Terpaksa menumpahkan darah. Tidak melalui kaedah perjanjian damai seperti Malaysia. Tetiba kemerdekaan itu dinafikan pula oleh individu ternama dalam masyarakat..! Tentu waras tindakannya. Tentu kuat rasionalnya. Tentu ada sesuatu yang tidak kena ni. Memang pun. Minda masyarakat Indonesia masih dijajah (captive mind). WS Rendra ingin menegur perlakuan Indonesians yang masih mengamalkan dasar sekular kesan kolonialisasi penjajah. Nilai2 moral (agama) belum sebati serta masih lagi terasing dalam kebanyakan tatacara kehidupan mereka. Agama masih diandai bersifat terlalu private, ataupun alien (sesuatu yang asing) dengan erti kata tidak mampu bersepadu secara harmoni bersama hal2 sosial. Lihat, sampai begitu sekali bahana yang dibawa oleh penjajah sehingga berupaya mencipta barah dalam sistem sosial tradisional turun-temurun negara seberang.


Prof. Shamsul Amri Baharuddin ada manyebut hal ini, “ ringkasnya, dengan tersemainya benih modenisme yang mengisi keperluan “modeniti” penjajah di sesebuah tanah jajahan bererti sistem dan aturan kosmologi pribumi mengalami “keterasingan”, atau alienation, yang parah kerana proses sekularisasi sudah berakar umbi dalam kehidupan sosial warga pribumi dan warga imigran. Keadaan keterasingan ini telah menjadi cabaran utama kepada kewujudan dan perlanjutan sistem dan aturan kosmologi pribumi”


Prof. Shamsul Amri sekarang bertugas sebagai Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.


Mari kita singgah sebentar di negara seberang bagi memahami realiti sebenar.


Pertamanya, sebagaimana terkandung dalam ungkapan “Orang kecil itu, benar dibilang salah. Orang besar itu, benar salah dibilang benar”. Inilah dia kerenah birokrasi. Penguasa (orang besar) menindas rakyat (orang kecil). Tidak ada keadilan sosial. Hal ini seringkali dikritik hebat oleh WS Rendra dalam bait2 puisi beliau. Kedua, kemunculan satu entiti sosial yang menggelar diri mereka sebagai Jaringan Islam Liberal (JIL) yang kelihatan cukup selesa dan bahagia dengan istilah2 kemodenan seperti enlightment, progressive dan renaissance. Kemunculan kumpulan ini antara lain dilihat sebagai response kepada golongan agamawan yang ekstremis-literalis menurut pandangan Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, pensyarah di UIAM. Walaubagaimana sekalipun, Kedua-duanya merupakan manifestasi faham pascamodenisme di Indonesia sekilas pengetahuanku.


Sekian saja perkongsian kali ini. wALLAU a'lam. Selamat berpuasa kepada semua.


*Semoga ALLAHswt mencucuri rahmat ke atas ruh almarhum WS Rendra, almarhum Ustaz Asri (Rabbani) serta mereka yang telah meninggalkan dunia palsu ini. Ameen.


"aku hamba,aku khalifah"


11.45 pagi

Guar Chempedak



Monday, August 10, 2009

Dasar pendidikan negara pada hari ini : adakah benar-benar relevan sebagai asas pembangunan masyarakat?

Menurut Prof. Dr. Sidek Baba dalam salah satu bukunya, “ pendidikan bukan sekadar proses transfer, atau pindah, tetapi lebih utama lagi ialah proses transform, iaitu bentuk atau bina”. Bagi memahami terma pendidikan dalam makna yang lebih luas, ada eloknya kita memerhati 2 gagasan besar yang berkaitrapat dengan pendidikan hasil renungan tajam keintelektualan 2 tokoh agung dalam Islam. Yang pertama ialah Tarbiyyah yang dipopularkan oleh Imam AsSyahid Hasan Al-Banna, sang revolusioner nasional Mesir (1906-1949). Beliau awal-awal lagi telah menyedari bahawa pendidikan (tarbiyyah) ialah langkah pertama bagi melakukan perubahan sosial. Al-Banna telah menggariskan 3 komponen pentarbiyyahan iaitu ‘aqal (intelektualisme), jiwa (spiritualisme) dan jasmani (aktivisme). Manakala pemikir agung bertaraf dunia kelahiran Nusantara, Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas memperkenalkan takdib sebagai jawapan tuntas kepada permasalahan kaum muslimin dimana beliau berpandangan bahawa segala permasalahan ummat Islam pada hari ini bertitik tolak daripada kekeliruan dan penyelewengan terhadap ilmu lantas membuahkan golongan yang tak beradab (biadap).

Sejak dahulu sampai sekarang, isu yang menyentuh soal pendidikan tidak pernah surut. Setiap tahun ada saja pihak yang berpolemik tentang halatuju pendidikan di Malaysia. Pelbagai isu berkaitan mengambil tempat. Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hasil idea Tun Mahathir sampai hari ini masih belum selesai malah semakin hangat pula sejak akhir-akhir ini. Isu pemansuhan Kementerian Pendidikan untuk digantikan dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebaik sahaja Tun Abdullah (PakLah) mengambil alih tampuk kepimpinan negara turut pernah mengundang kritikan masyarakat. Terbaru, timbul pula isu kerajaan mahu mengehadkan pengambilan subjek SPM kepada hanya 10 subjek serta BI sebagai subjek wajib lulus dalam SPM. Dari satu sudut, penulis nampak satu perkembangan positif pada keprihatinan para pemimpin Malaysia terhadap pendidikan rakyat. Ia wajar diberi penghargaan serta pujian sepatutnya kerana pendidikan sememangnya sesuatu yang asasi dalam membentuk sistem kemasyarakatan yang bersepadu.

Namun, di sana masih ada ruang kelemahan begitu besar yang mungkin tidak disedari oleh sesetengah pihak. Mengapa pengajian yang berteraskan agama tidak dititikberat malah dianaktirikan sedangkan sejarah Tanah Melayu telah mengakui bahawa kegemilangan tamadun Melayu adalah disebabkan oleh kesatuan agama Islam dengan bangsa Melayu. Ini pendapat Prof Al-Attas. Dikatakan, transformasi paling hebat telah berlaku dalam alam Melayu sekaligus membentuk jati diri, pemikiran, serta memberi ciri-ciri khusus kepada ummat Melayu yang memungkinkan terjana satu peradaban agung dan disegani dunia, tamadun Melayu-Islam di Tanah Melayu pada ketika itu. Tetapi, pada hari ini telah berputik dualisme ciptaan Barat dalam sistem pendidikan di Malaysia di mana subjek yang berasaskan agama dijadikan sebagai subjek elektif, tidak sebagai teras juga tidak sebagai subjek wajib lulus terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Tanpa sedar, proses sekularisasi peringkat nasional sedang berjalan secara halus dan cukup terancang. Maka tunggulah kehancuran tamadun Melayu-Islam jika masalah besar ini dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab.

Satu lagi kepincangan besar yang perlu diambil perhatian ialah sistem peperiksaan yang jelek. Para guru dilatih untuk memaksima penggunaan skema jawapan peperiksaan yang dirangka khas mengikut nota dalam buku teks. Maksud di sini secara mudahnya, rangka skema jawapan adalah sama seperti apa yang terdapat pada buku teks, dan pelajar mesti menjawab dengan jawapan tersebut. Sebarang jawapan yang lain daripada apa yang dinyatakan dalam buku teks dinilai salah walaupun secara rasionalnya jawapan itu adalah betul. Masalah ini tertumpu kepada soalan-soalan berbentuk subjektif. Justeru, pernah seorang pelajar terbaik SPM Malaysia menyatakan bahawa beliau amat rapat dengan buku teks bahkan menghafalnya. Lantas, budaya “exam oriented” serta “textbook oriented” sihat menggemuk dalam kalangan masyarakat mengundang penyakit sosial yang lebih berbahaya daripada selsema babi iaitu kelahiran insan-insan yang tidak mampu berfikir secara rencam, analitis apatah lagi kritis sebagai asas kepada kehancuran budaya ilmu di Malaysia sekaligus merencatkan pembangunan negara tidak mengira aspek.

Kerajaan Malaysia terutama kementerian yang bertanggungjawab langsung dengan isu pendidikan mesti melakukan muhasabah kembali (recheck) dengan menjadikan Falsafah Pendidikan Negara sebagai agenda utama untuk betul-betul difahami dan disemangati. Kajian komprehensif dan holistik keatas sistem pendidikan negara harus dilaksana dengan penglibatan tokoh-tokoh tertentu dan jika perlu, penstrukturan semula sistem pendidikan negara secara besar-besaran wajib dilakukan samada dari segi fizikal atau pun dalaman (dasar). Falsafah Pendidikan Negara mesti dijadikan sebagai asas rujukan kajian. Ini paling penting dan utama. Tidak guna mengemukakan idea-idea atau cadangan-cadangan baru jika ianya tidak selari malah bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara yang telah terbukti bertepatan dengan takrif ‘ilmu oleh Prof Al-Attas serta pemikir agung silam seperti Fakhruddin Ar-Razi (meninggal 1209M) dan Saifuddin Al-Amidi (1233M).

M090612, Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru, Selangor.

*artikel ini penulis hasilkan atas permintaan seorang sahabat, akhi Amirul Ghanie merangkap fasi penulis ketika program Haluan Siswa DQ 09/12. Kredit untuk beliau. Ini juga artikel pertama penulis secara serius (selepas memasuki fasa baru kehidupan khususnya dalam aspek pemikiran serta worldview). InsyaALLAH swt, artikel pertama ini menjadi pencetus momentum aktivisme penulis dalam bidang penulisan. Juga kredit istimewa untuk gen4th.blogspot.com kerana menyedia tempat untuk post, khususnya kepada Haq, presiden kita. (aku malas buat blog, hehe..)

Harap2 perkongsian ini bermanfaat dan diambil tahu oleh semua ahli2 4gen khususnya. Isu pendidikan ini sangat penting kerana ia merupakan asas pembangunan insan, masyarakat dan negara. Ini isu besar.

Ana juga ingin menyeru sahabat2 pengunjung sama2 berkongsi pandangan terhadap isu ini, dan apa2 sahaja yang kita bangkitkan di blog ini. Jadi, mohon comment..! Besar harapan ana untuk melihat blog ni menjadi satu wahana perkongsian 'ilmu antara kita.

Ana ulang ungkapan pres 4gen, "Ha.. satu lagi, barangsiapa yang ingin menjadi penulis dan nak post dalam laman ni, mesej ja ana, nanti ana akan bagi ruangan kat dalam blog ni untuk antum berkarya.. peluang keemasan ni!! "

Tunggu apa lagi satu,
Apa tunggu lagi dua,
Lagi apa tunggu tiga..!

Mari mencirikan blog kita dengan budaya 'ilmu..!

"aku hamba, aku khalifah"