Friday, August 27, 2010

Hayati Sajak : Ramadhan Untuk Orang Hidup


Pesanan : Mesti hayati, bukan baca sepintas lalu! 

Ramadhan yang tidak berusia
menjelma lagi
Satu anugerah besar Ilahi
buat manusia
pemilik usia
semakin tua, nak mati...
Amat malang manusia
Andai tidak mengendahkan Ramadhan
Kali ini.
Kerana manusia ada usia.
Dia akan mati.
Dia akan mati.
Dia akan mati.
Ramadhan terus hidup.
Terus hidup
untuk manusia bernyawa,
bukan untuk orang mati!
 
 

Tuesday, June 29, 2010

Ada Juga Orang Kata Ummah Melayu Kuasa Baru Dunia Abad ke-21

Pada dasarnya, orang Melayu adalah pemalas, orang cina adalah pencuri. Dan orang India adalah pemabuk; namun masing-masing dalam kelompok pekerjaan khususnya, murah dan cekap apabila betul-betul diawasi.” -C.G. Warnford-Lock, 1970, Mining in Malaya for Gold and Tin.


Melayu bangsa pemalas. Itu orang putih kata. C.G. Warnford merupakan seorang orientalis. Saya petik rangkaian kata di atas daripada Milenia Muslim.

Ada yang rajin, seperti kelompok nelayan, petani dan pesawah yang saban hari tekun bekerja. Namun, mereka berpikiran sejengkal macam mata kail kerana hanya mengikut skema pekerjaan tanpa berdaya maju.

Melayu bangsa bumiputra. Melayu kaum konstitusi. Justru itu, Melayu lebih suka bergantung, tidak mandiri, makan disuap. Melayu hanya setakat bekerja bawah orang dan selesa berkampung ramai-ramai di bawah ketiak kerajaan, tidak cenderung membina kerjaya sendiri apatah lagi mengurus kerjaya orang. Melayu hamba yang mengikut kata kapitalis kelas atas.

Pelajar Melayu kuat tidur (kerana cepat bosan mengaji katanya) lantaran tidak menyemangati falsafah pendidikan negara (yang memang tidak diperhayat oleh kerajaan sendiri pun). Sebaik habis kelas terus masuk tidur atau menyambung angan, sementara menunggu minggu peperiksaan, sementara menunggu hari konvo, sementara tiada tugas membuat resume. Melayu menjadi mangsa sistem pendidikan orang putih yang membengongkan. Kesannya, Melayu semakin hilang daya ta’kulnya.

Melayu bangsa penagih politik sarkas (meminjam Nobisha) dan politik pragmatis-realis, politik yang kosong daripada makna humanitarian seta nilai-nilai ruhaniy samawi. Mungkin boleh juga disebut sebagai politic-centric. Setiap hari Melayu menghabiskan masanya dengan berlawan sesama sendiri. Pilihanraya bermula berma’na gelanggang free fight peringkat final mulai dibuka. Pihak sini menyerang, pihak sana bertahan. Begitulah sebaliknya. Kanak-kanak Melayu pada hari ini pun tahu dan biasa dengan kalimah-kalimah seperti BN, PKR, PAS, ia manjadi perbualan dalam kalangan mereka malah merupakan budaya hiburan baharu di tanah air kita.

Melayu hilang arah. Tembak budak kecil, buang anak kecil dan berlambak salahlaku sosial lain. Harian Metro tidak pernah kekeringan berita. Melayu hina dan dihina oleh Melayu juga di media. Pemuda Melayu merupakan bidan lahirnya istilah rempit dan merempit. Gadis Melayu pula gilakan mat indon, mat bangla. Mungkin kerana pemuda Melayu semuanya malas lalu ia mengurangkan macho, lebih baik pilih mat bangla dan indon yang rajin bekerja.

Di tanah tumpah darah moyang Tuah, Melayu terhina di hadapan semua kaum terutama Cina dan India sedangkan bangsa-bangsa itu tidak lebih daripada sekadar kaum pendatang dan Melayu pula tuan.

Ada orang Melayu dengan bersemangatnya berkata ,“takkan Melayu hilang di dunia!”. Memang, Melayu ada banyak lagi dan sentiasa bertambah bilangannya sama ada di Indonesia, Malaysia, Brunei dan seluruh nusantara. Di Pattani pun masih ada walau tertindas dan tampak kian berkurangan.

Melayu tidak akan hilang jasad dan keturunannya, cuma hilang ruh dan citra aslinya. Dunia berkembang membawa modeniti dan modenisme malah sudah pun pascamodenisme ketika ini. Baratlah pemacunya selaku kuasa dunia utama. Pandangan alam Barat mendominasi dunia, mempengaruhi budaya serata bangsa dan agama. Melayu-Islam termasuk sama.

Melayu hari ini ialah Melayu yang keliru, kabur, tercari-cari identiti. Kita mahu Melayu yang bagaimana, Melayu gaya siapa? Zaid Ibrahim? Ibrahim Ali? Mahathir Mohamad? Melayu UMNO? Melayu PAS? Atau Melayu Al-Attas? Melayu kepeningan.

Melayu menderita penyakit kekacauan identiti. Melayu tak suka dan segan-segan memakai baju telok belanga dan baju kurung. Melayu lebih cenderung memakai pakaian yang katanya trendy.

Melayu tak ingin pun mencari dirinya yang terkenal perkasa pada suatu hari.

Melayu tak pernah pun menyelak Sulalatus Salatin yang dibawa susah-payah intipatinya dari Goa.

Melayu masa kini sedang meniti hari-hari sepi. Entah apa nasib Melayu di hari muka?

Melayu benar-benar kehilangan saktinya!

Hilmy Bakar Almascaty, seorang wartawan bebas dan merupakan anggota Forum Diskusi Pemuda ASEAN (Malaysia) pernah menulis sebuah buku yang diterbitkan pada 1994 bertajuk : UMMAH MELAYU KUASA BARU DUNIA ABAD KE-21.
 
# dipetik daripada kantapembesar.blogspot.com

Saturday, May 22, 2010

Kepada Semua 'Ilmuwan Muda', Tolong Baca!

IMAMUNA AS-SYAFIE r.a. merupakan seorang ulamak ulung dunia Islam. Tersohor beliau dalam bidang agama dengan antara sumbangan terbesarnya dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam ialah mempelopori disiplin ilmu Usul Fiqh (iaitu ilmu metodologi pengistinbatan hukum). Kitab beliau Ar-Risalah memperkenalkan usul fiqh dalam kerangka yang sistenatik sehingga layak diangkatnya sebagai salah satu disiplin ilmu penting dalam Islam.

Imam Syafie, ilmuwan yang saya yakin benar-benar asli dalam erti kata mengikut jalur keilmuan Islam (Islamic epistemology) yang sebenar. Ini boleh kita lihat pada pengiktirafan kelompok besar umat lebih-lebih lagi golongan ilmuan terhadap ‘kebesaran’ beliau. Malah, autoriti al-Imam dalam ilmu Usul membuktikan kedalaman dan kehebatannya dalam bidang pemikiran / falsafah.

Syair-syair as-Syafie yang sangat masyhur kerap kali mengungkapkan perihal ilmu (hakikat) dan penerima ilmu (pentafsir ilmu). Diwan as-Syafie, antara kitab syair beliau. 

Syair yang mengandungi nasihat dan panduan  menyangkut soal ilmu adalah tersangat penting buat barangsiapa yang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat, kuat membaca, dan yang katanya telus mencari yang mana satu benar. Terlebih utamanya dan banyak mutakhir ini menjelma dalam kalangan pemuda - yang masih muda pemikirannya, boleh juga ditafsir sebagai kurang tahu persolan ‘ilmu’ sebagai satu subjek yang mulia dan tinggi martabatnya dalam islam.

Kuat membaca?

Ulamak-ulamak terdahulu terutamanya di zaman keemasan islam (iaitu 'asr abbasiah) banyak membincangkan epistemologi (faham ilmu) dalam kitab-kitab terkenal mereka.

Ulamak hari ini, yang menyentuh secara mendalam soal penting ini digolongkan sebagai pemikir atau ahli falsafah, justeru itu lebih jauh dan tidak familiar dengan masyarakat awam. Kesannya, soal faham ilmu ini tidak berkembangbiak dalam kalangan kita sebagaimana ilmu-ilmu lain. 

Kata Al-Attas, akar (punca utama) permasalahan umat Islam pada hari ini ialah kekeliruan dalam menanggap ilmu. Kesannya, kelahiran segolongan besar umat yang tidak beradab.

Golongan tak beradab itu memang benar-benar menjelma pada hari ini. Cukup banyak : iaitu - secara umum - orang-orang yang tidak matang dalam berhujah ( yang mengikut emosi), cepat prejudis, cepat mengikut hawa nafsu, terlalu skeptik dengan yang setentang, terlalu taksub dengan yang sebulu.

Lebih berat, golongan high-class yang terlalu yakin dengan pandangan (atau aliran) yang diikuti, walaupun sah berlawanan habis dengan aliran utama tradisi keilmuwan Islan yang didominasi oleh ulamak-ulamak muktabar. Sebagai contoh : golongan anti-hadith, syiah (terutamanya dalam aqidah), dan aliran liberal yang pelbagai cabang itu. 

Rangkaian syair As-Syafie boleh dijadikan panduan berguna. Lebih pragmatis dengan zaman ini, mesti rujuk Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Saya tidak tahu ada manusia lain selain beliau di zaman ini yang membincangkan secara serius soal ini. 

Kepada ulamak akhir zaman, termasuk ulamak politik,
Iintelektual yang dengarnya bijaksana,
Mufti, lantang atau tidak lantang,
Penceramah-penceramah jemputan,

dan yang diraikan,
‘para ilmuwan muda’ bersemangat berapi-api,

Sila fahami terlebih dahulu,

APA ITU ILMU secara mendalam dan halus,

sebelum keluar menemui masyarakat sebagai "ustaz", "mufti", "prof.", "dr." dan lain-lain panggilan hormat kepada orang 'berilmu'.

kanta.pembesar : "Ilmu itu bukan semudah mencari dalil dan maklumat dalam kitab/buku di perpustakaan, kedudukannya tersangat tinggi dan mulia menandakan kepayahan mencapainya"

- dipetik dengan izin daripada kantapembesar.blogspot.com.

Saturday, February 13, 2010

Idealisme Perpaduan

PM Najib Tun Razak pada hari ini menzahirkan idealisme perpaduannya menerusi gagasan 1Malaysia cetusan beliau. Setidak-tidaknya Pakatan Rakyat pasti dirundung risau apabila konsep ini disebarluas dengan begitu hebat sekali terutama melalui saluran perdana tambahan pula gagasan 1malaysia ini terbukti berfungsi sebagai wasilah pengharmoni yang compatible dengan sebarang isu sosial tanah air dalam memberi rasa aman kepada kelompok masyarakat yang terlibat sekurang-kurangnya buat seketika. Kelebihan ini (compatibility) wujud lantaran sifat universal yang ada pada konsep ini justeru ia memfokus kepada ide kesatuan, perkongsian ciri dan seumpamanya. Lihat, betapa jauh daya fikir Najib (jika 1malaysia ini merupakan buah pemikiran beliau yang asli).


Membentuk perpaduan

Prof SMN Al-Attas ada menjelaskan bahawa kesatuan itu dibentuk/dicapai apabila terdapat faktor2 yang sama atau dikongsi bersama oleh entiti-entiti yang mahu disatukan. Dalam hubungan ini, beliau menjelaskan lagi dalam siri syarahan di Radio Malaya pada tahun 1959 bahawa kesatuan sesuatu negara (negara bangsa) diasaskan sekurang-kurangnya pada tiga daripada empat faktor iaitu agama, bangsa sejarah politik dan bahasa. Huraian lanjut yang lebih praktis boleh dirujuk pada buku bertajuk : Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna (2005), JAPI API UM.


Menjayakan perpaduan secara sistematik : justifikasi oleh Al-Banna dan Junjungan Besar (saw)

Imam Hassan al-Banna pada hari ini sering disebut-sebut oleh ahli-ahli harakiy tidak ketinggalan anak-anak muda kita. Kejayaan dakwahnya di Mesir mengangkat hebat peribadi beliau serta jemaah Ikhwanul Muslimin. Semenjak itu, amar ma’ruf nahi munkar gaya harakiy cetusan al-Banna ini menjadi inspirasi utama kepada pertubuhan-pertubuhan dakwah Islam termasuk jemaah-jemaah Islam di Malaysia.


Lalu, mari kita perhati antara dasar2 utama Ikhwanul Muslimin :
 1. Sistem usrah - kesatuan2 kecil dibentuk bagi mencapai kesatuan besar (Ikhwanul Muslimin)
2. Konsep fardul muslim, baitul muslim, mujtama’ muslim, khilafah islamiyah - ini menggambarkan pemeringkatan kesatuan bermula sekecil-kecil seorang individu sehingga sebesar-besar ummah.


Nabi Muhammad saw arkitek perpaduan professional, baginda saw dalam peristiwa agung Hijrah menyatukan terlebih dahulu puak Aus dan Khazraj menjadi Muhajirin sebelum membawa mereka (Muhajirin) ke penempatan golongan Ansar di Yathrib. Sebelum itu, nabi saw terlebih dahulu mengirim seorang sahabat ke Yathrib bagi tujuan islamisasi, dan kelompok muslimin pertama berjaya dibentuk (Ansar). Mereka ini yang menyambut kedatangan Muhajirin. Kemudian, Muhajirin dan Ansar dimadukan pula oleh Rasulullah saw membentuk ahlul Madinah. Dengan ini maka terbinalah kesatuan ummah paling awal dalam sejarah utusan terakhir saw bagi merintis kerajaan Islam Madinah Munawwarah, cahayanya menyinari alam.


Kedua-dua bukti sejarah di atas sebenarnya merupakan penjelmaan zahir makna perpaduan yang dilakukan secara berperingkat atau bersistem. Maksudnya Rasulullah saw dan al-Banna tahu benar peri penting agenda perpaduan dan merancang rapi agenda ini. Dalam kata lain, teknik-teknik atau proses untuk mencapai matlamat perpaduan itu difikir, dirancang serta dilaksana oleh mereka – iaitu penyatuan secara berperingkat : bilangan sedikit kepada ramai atau pun kecil kepada besar.


Penutup

Islam merupakan sebuah agama yang mementingkan perpaduan ummah dan ini dapat dibuktikan lewat sistem khilafah islamiyah iaitu sistem pentadbiran ummah yang bersifat ummatan wahidatan, merentas sempadan geografi, budaya dan latar belakang sejarah. Seluruh manusia bersumpah-setia (taat) kepada khalifah yang satu, tiada dua. Ini ialah manifestasi perpaduan terbesar dalam sejarah manusia namun saat itu hanya tinggal menjadi kenangan terindah dan bahan laungan pejuang2 Islam pada hari ini. Ketika ini, kuasa besar Barat terus-menerus membuli ummah terbaik ini terutamanya dari segi penguasaan pemikiran. Umat Islam berpecah-belah, tiada ummah administration central-system dan keadaan ini amat2 merugikan kita.
 
 
"aku hamba,aku khalifah"
 
Selesai:
10.21malam.
Chancellor Condominium,
Ampang, Selangor.