Thursday, October 15, 2009

Mahu Memanusiakan Semula Binatang Jadian

Aku kerling sebelah mata cuma,
Nampak terang,
Sana-sini penuh sampah,
Orang kita lahir, hidup, mati di celahan sampah.
Aku jijik.

Aku palam dua lubang,
Ku pikir bisa diusir jauh aroma bangkai itu,
Rupanya tidak.

Mahu saja aku jadi bakul sampah,
Dalam kamar beradu si kaya budiman.
Tetapi,
Mereka langsung tak pandang aku.
Apa guna jadi bakul sampah?

Aku tadah kedua tangan;
“Ya ALLAHswt, Kau bukakanlah pintu2 hati kami”


Zaman ini zaman global. Hari ini, manusia hidup dalam dunia tanpa batas. Segalanya mampu dicapai dengan mudah. Tiada sebarang filter lagi. Arus materialistik (kebendaan) sangat deras mengalir mengairi segenap aspek kehidupan. Berapa ramai antara kita yang hanyut? Sangat ramai. Ini tak termasuk yang karam terus. Mereka inilah yang digambarkan sebagai bergelumang dengan sampah. Menikmati wang, harta dan pasangan dengan penuh asyik. Gaya hidup kebaratan tampak jelas tercermin pada pakaian, perlakuan, serta bahasa pergaulan mereka ini. Budaya orang putih diagung2kan. Budaya orang kita dipandang sebelah mata. Agama Islam dilonggar ruang cakupannya sesuka hati. Nafsu syahwat ditabal sebagai raja berhari-hari. Apa payah. Simpulkan saja begini : manusia umpama binatang peliharaan (kal an’am). Na’uzubILLAHi min zalik. Kemodenan tanpa pertimbangan agama yang bermuarakan Barat ini memang sering dibangga-bangga oleh orang2 Eropah itu pada awalnya (bahkan sehingga kini). Namun Barat terpaksa mangakui sistem nilai (moral) dalam kalangan masyarakat mereka sudah tergadai sebagai bayaran harga sebuah kemajuan kebinatangan! (Kemajuan kebinatangan ialah kemajuan yang hanya pada kebendaan serta pemikiran, tidak pada kerohanian serta keagamaan. Isu ini boleh kita bincang lanjut nanti.) Yang sedihnya, bencana yang menimpa Barat itu turut dikongsi sama oleh kita yang punya agama luhur anugerah Ilahi. Lalu, di mana silap kita?

Sesungguhnya dunia ini ibarat bangkai kambing. Saya sudah tidak ingat dalilnya. Hadith Nabi saw kan? Yang pastinya, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari pernah menyebut perihal ini dalam satu kuliah pengajian kitab Al-Hikam (kitab ilmu tasawuf) di Gombak. Sedemikian rupa tamsilan (analogi) yang diberi buat renungan mata hati kita untuk menunjukkan betapa hina dan busuknya dunia ini..! Mengapa hari ini orang-orang Melayu kita terlalu obses terhadap keduniaan ? Sudah butakah mata hati kita? Apa guna aqal waras andai tak bisa menilik dengan saksama?


Penyakit “kasih kepada dunia” ini seyogianya (perlunya) diubati segera. Sahabat2 kita mesti ditarik tangan mereka naik ke tanah tinggi supaya tidak lemas kehanyutan dalam arus deras material itu. Bagaimana ya cara terbaik? Adakah teknikal semata? Sebagai contoh, haramkan pusat2 judi, kelab2 malam, atau pun yang lebih dramatik lagi cadangkan saja kepada kerajaan Malaysia untuk mewajibkan setiap penggiat seni hiburan menjaga aurat dengan sempurna di sisi syariah. Wartakan satu enakmen khas untuk menghukum penggiat2 seni ini jika mereka terbukti melanggar peraturan itu. Lagipun Rukunegara kita sudah sekian lama menggariskan : “Kepercayaan kepada Tuhan”. Ini rukun yang pertama. Sedar atau tidak, pada bungkusan roti gardenia yang selalu kita makan itu ada termaktub kelima-lima Rukunegara Malaysia, tetapi kita tak hayati pun termasuklah saya sendiri. Baiklah. Saya fikir, dari segi teknikal memang sudah bertahun-tahun usaha2 membanteras dilaksana (contohnya, rukunegara tadi. Juga undang2 syariah yang sekian lama dibentuk). Namun, keberkesanannya kita sendiri boleh adili dengan saksamanya. Saya majukan isu2 masyarakat hari ini. Contoh 1-Isu rasuah serta salahguna kuasa. Berapa ramai pemimpin negara yang terlibat dalam kes rasuah? Terlalu ramai. SPRM yang dibentuk semasa zaman Pak Lah yang kononnya lebih perkasa berbanding BPR untuk membendung rasuah dalam negara ternyata melengkapkan lagi rasa hampa di hati-hati rakyat jelata. Contoh 2-Industri hiburan mencanak naik. Ini semua kita maklum dengan sempurna. JomHeboh, SuaRasa, Jangan Lupa Lirik dsbnya (terlalu banyak, siaran tv sahaja ada berapa banyak channel tidak termasuk radio lagi..!). Malah, artis Melayu yang dikatakan sopan-santun mula menjadi-jadi ketidak tahu maluannya. Si penasyid jadi rocker superman kemudian mahu pula jadi The Hulk (tak pakai baju). Nasib baik tidak kehijauan sosok tubuhnya. Artis yang seorang lagi pula alkisahnya menang anugerah. Terlalu bahagia di hati sehingga tanpa sedar terus memeluk seorang artis wanita. Itu katanya. Berapa banyak kisah2 cinta para artis yang sampai kepada kita? Mencurah-curah bak hujan usai kemarau. Setiap artis yang telah/baharu berkahwin pula bagai sudah menjadi agenda wajib bagi mereka untuk bercerai selepas itu. Saya kira, memadai dengan 2 isu ini bagi menggambarkan situasi sosial masyarakat tanah air khususnya Melayu pada ketika ini. Persoalannya, sejauh mana peranan dan efektifnya usaha2 berupa teknikal tadi?

SOLUSI PERMASALAHAN 

Pada zaman ini peranan ILMU TASAWUF amat penting dalam mendepani arus materialistik. Said Hawwa mengemukakan dalam kitabnya, Tarbiyatuna alRuhiyyah H:13, dengan katanya,

“ Sesungguhnya zaman kami ini adalah zaman kesyahwatan, kerosakan, dan kebendaan yang mesti dibenteras dengan alternatif yang lain. Dengan tegasnya, saya menyatakan sesungguhnya hanyalah pentarbiyahan tasawwuf yang boleh dijadikan alternatif untuk mengatasi permasalahan ini.”

Apa itu ‘ilmu Tasawwuf..?
Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Muthalib al-Indonesia (ulamak besar Melayu yang berpeluang mengajar di Masjidil Haram) dalam kitab beliau, Penawar Bagi Hati menyebut;
“ dan diketahui olehmu bahawasanya maksud daripada ‘ilmu tasawwuf itu membersihkan segala anggota yang zahir daripada segala perbuatan yang keji supaya ada ia menyampaikan kepada membersihkan hati daripada segala sifat kecelaan “


Penawar Bagi Hati antara kitab yang membicarakan peringkat paling asas dalam ilmu tasawuf. Kita disarankan untuk mendalami kitab ini terlebih dahulu sebelum beralih kepada peringkat yang lebih tinggi iaitu sebagai contoh: kitab Bidayatul Hidayah karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Juga syarah kepada kitab ini, Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani. Beliau merupakan antara ulamak terulung dunia Melayu. Kemudian, beralih pula kepada kitab yang sangat tersohor karangan Al-Ghazali Ihya’ Ulumiddin juga syarahnya, kitab Sairus Salikin yang juga tulisan Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani. Kitab yang lebih tinggi lagi pada tingkatan ilmu tasawufnya ialah seperti Al-Hikam karya besar Syeikh Ibn ‘Atoillah As-Sakandari. Kalau kita selidiki, karya2 berorientasikan tasawuf amat banyak didapati dalam himpunan khazanah keilmuan Nusantara Melayu. Bagi saya ini satu anugerah tersangat besar daripada Yang Maha Esa kepada ummat Melayu. Generasi hari ini perlu menyedari dan menghargainya. Janganlah kita melihat sahaja timbunan permata di hadapan mata kepala tanpa melakukan apa2.


Saya sebenar-benar hati mahu menegaskan kepentingan serta keutamaan pembelajaran ilmu tasawuf sekaligus pengamalannya bagi setiap orang. Mungkin juga ini satu pengenalan kepada sahabat2 tertentu. Ilmu tasawuf ini sebenarnya telah lama bertapak di tanah leluhur ini. Malah dikatakan bahawasanya tradisi kesufian (tasawuf) yang membimbing alam Melayu naik ke puncak keagungan ketamadunan. Memimpin mesra orang kita masuk ke alam rohani yang dipenuhi rasa nikmat muqarrabah dengan Rabb Yang Satu sehingga sanggup menyahusir kepercayaan dongeng, mitos, tahyul animisme dan digantikan dengan kepercayaan tunggal (tauhid) yang mulia. Juga membentuk ciri2 tertentu dalam kosmologi (keseluruhan) Melayu. Contohnya, sifat sopan-santun orang Melayu selain kehalusan budi pekertinya. Juga ketinggian adabnya. Sampai hari ini, ilmu tasawuf masih giat dipelajari terutamanya di pondok2 pengajian seluruh Malaysia serta Nusantara. Dalil2 al-Quran dan as-Sunnah jelas mengithbatkannya. Untuk itu cuba renung dan fikirkan tentang konsep Al-Ihsan.

Sebelum meminta diri, saya ingin mengulangi pendirian bahawasanya dalam kekacauan akhlaq masyarakat pada zaman moden ini, pembelajaran serta pengamalan ilmu tasawuf sangat2 dituntut.


Sekian perkongsian kali ini.

Selesai di pagi 15/10/09. Guar Chempedak.


“Aku hamba,aku khalifah”


No comments:

Post a Comment