Saturday, February 13, 2010
Idealisme Perpaduan
Membentuk perpaduan
Prof SMN Al-Attas ada menjelaskan bahawa kesatuan itu dibentuk/dicapai apabila terdapat faktor2 yang sama atau dikongsi bersama oleh entiti-entiti yang mahu disatukan. Dalam hubungan ini, beliau menjelaskan lagi dalam siri syarahan di Radio Malaya pada tahun 1959 bahawa kesatuan sesuatu negara (negara bangsa) diasaskan sekurang-kurangnya pada tiga daripada empat faktor iaitu agama, bangsa sejarah politik dan bahasa. Huraian lanjut yang lebih praktis boleh dirujuk pada buku bertajuk : Pembangunan di Malaysia : Ke arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna (2005), JAPI API UM.
Menjayakan perpaduan secara sistematik : justifikasi oleh Al-Banna dan Junjungan Besar (saw)
Imam Hassan al-Banna pada hari ini sering disebut-sebut oleh ahli-ahli harakiy tidak ketinggalan anak-anak muda kita. Kejayaan dakwahnya di Mesir mengangkat hebat peribadi beliau serta jemaah Ikhwanul Muslimin. Semenjak itu, amar ma’ruf nahi munkar gaya harakiy cetusan al-Banna ini menjadi inspirasi utama kepada pertubuhan-pertubuhan dakwah Islam termasuk jemaah-jemaah Islam di Malaysia.
Lalu, mari kita perhati antara dasar2 utama Ikhwanul Muslimin :
1. Sistem usrah - kesatuan2 kecil dibentuk bagi mencapai kesatuan besar (Ikhwanul Muslimin)
2. Konsep fardul muslim, baitul muslim, mujtama’ muslim, khilafah islamiyah - ini menggambarkan pemeringkatan kesatuan bermula sekecil-kecil seorang individu sehingga sebesar-besar ummah.
Nabi Muhammad saw arkitek perpaduan professional, baginda saw dalam peristiwa agung Hijrah menyatukan terlebih dahulu puak Aus dan Khazraj menjadi Muhajirin sebelum membawa mereka (Muhajirin) ke penempatan golongan Ansar di Yathrib. Sebelum itu, nabi saw terlebih dahulu mengirim seorang sahabat ke Yathrib bagi tujuan islamisasi, dan kelompok muslimin pertama berjaya dibentuk (Ansar). Mereka ini yang menyambut kedatangan Muhajirin. Kemudian, Muhajirin dan Ansar dimadukan pula oleh Rasulullah saw membentuk ahlul Madinah. Dengan ini maka terbinalah kesatuan ummah paling awal dalam sejarah utusan terakhir saw bagi merintis kerajaan Islam Madinah Munawwarah, cahayanya menyinari alam.
Kedua-dua bukti sejarah di atas sebenarnya merupakan penjelmaan zahir makna perpaduan yang dilakukan secara berperingkat atau bersistem. Maksudnya Rasulullah saw dan al-Banna tahu benar peri penting agenda perpaduan dan merancang rapi agenda ini. Dalam kata lain, teknik-teknik atau proses untuk mencapai matlamat perpaduan itu difikir, dirancang serta dilaksana oleh mereka – iaitu penyatuan secara berperingkat : bilangan sedikit kepada ramai atau pun kecil kepada besar.
Penutup
Islam merupakan sebuah agama yang mementingkan perpaduan ummah dan ini dapat dibuktikan lewat sistem khilafah islamiyah iaitu sistem pentadbiran ummah yang bersifat ummatan wahidatan, merentas sempadan geografi, budaya dan latar belakang sejarah. Seluruh manusia bersumpah-setia (taat) kepada khalifah yang satu, tiada dua. Ini ialah manifestasi perpaduan terbesar dalam sejarah manusia namun saat itu hanya tinggal menjadi kenangan terindah dan bahan laungan pejuang2 Islam pada hari ini. Ketika ini, kuasa besar Barat terus-menerus membuli ummah terbaik ini terutamanya dari segi penguasaan pemikiran. Umat Islam berpecah-belah, tiada ummah administration central-system dan keadaan ini amat2 merugikan kita.
"aku hamba,aku khalifah"
Selesai:
10.21malam.
Chancellor Condominium,
Ampang, Selangor.
Sunday, November 29, 2009
Buat teman2 pejuang Islam, inilah luahan hatiku...
Saya berkehendak sangat untuk menghadirkan sebuah coretan khas untuk sahabat2 yang mendakwa diri sebagai pejuang agama, pendokong harakiy, dan pengikut Al-Banna. Saya mengaku saya juga salah seorang ahli gerakan Islam di tanah air tercinta. Jadi, minda yang mencetuskan ini terlebih dahulu mengambil pengajaran daripadanya.
Pada pengamatan saya, tidak sedikit daripada pejuang2 muda Islam pada hari ini yang sudah melencong daripada matlamat asal perjuangan. Mereka kehilangan citra juga ruh perjuangan. Ada matlamat lain yang menghuni hati, malah apa yang lebih memalukan ialah seorang pejuang yang sangat lantang bicaranya di pentas-pentas pidato namun kontang jiwanya daripada dasar asal perjuangan.
Apa katanya?
Krisis pemesongan matlamat ini tampak mendominasi minda sebahagian besar rakan2 di gerakan2 mahasiswa terkenal seperti PKPIM dan GAMIS iaitu dua gerakan mahasiswa terbesar di Malaysia. Ini betul2 berlaku. Lebih malang, ia umpama barah yang seakan-akan sudah pun mencapai peringkat paling kritikal antara tingkatan-tingkatannya. Percayalah.
Prinsip-prinsip asas Islam seperti “amar ma’ruf nahi munkar” serta “Islam mendatangkan maslahah, menolak mafsadah” juga “matlamat tidak menghalalkan cara” tidak lagi menjadi kayu ukur kita dalam mengayuh perjuangan suci. Bukankah prinsip2 ini adalah penilaian pertama sebelum kita melaksana sesuatu tindakan?
Mengapa kita rela mengorbankan hal2 asasi ini demi mencapai objektif2 sisi yang lahir daripada justifikasi2 yang tidak menempati ruang konteksnya dengan saksama? Janganlah mendungukan diri sendiri.
Jangan bimbang, tulisan ini umum sifatnya. Saya tidak akan mendedahkan sebarang isu secara analitis di ruang ini pada ketika ini atas alasan2 tertentu.
Cukuplah begini dahulu;
Saya kata kepada mereka, pada hakikatnya kita tidak tahu, tidak mahu ambil tahu dan tidak faham asas2 agama Islam dan perjuangan. Kita jadi pejuang sumbang, yang rakus merobek agama dari ruang dalam.
Buat teman2 satu bahtera perjuangan yang masih punya hati yang mahu berubah, serta aqal yang mahu berfikir;
Nasihat saya kepada mereka, kamu semua tidak dapat tidak mesti pastikan mindamu dalam keadaan bebas (pemikiran bebas) sebelum anak matamu menyentuh kulit luar sebarang bahan bacaan dan terowong telingamu membenarkan kemasukan sebarang butir bicara sesiapa pun. Maksud saya, kamu berada dalam keadaan tidak dibelenggu sebarang doktrin yang mengikat pemikiran kamu sebelum2 ini. Jika tidak, kamu yang punya penyakit “matlamat terpesong” akan terus menderita kesakitan kerana kamu enggan mencuba sebarang penawar pun, tanggapanmu penyakitmu itu bukan penyakit, jadi ubat tidak perlu!
Apa yang kita perlu lakukan kemudiannya;
Tolonglah kuasai teori2 asas perjuangan kerana ia merupakan ruh perjuangan itu sendiri. Jasad tanpa ruh, tempatnya jauh di bawah permukaan bumi. Jangan jadi seperti mayat yang tidak ditanam, menyusahkan orang dengan baunya. Pejuang tanpa ruh perjuangan tidak mendatangkan apa2 kepada agama melainkan kerosakan yang nyata.
Semua ini tidak mungkin dicapai kecuali melalui jalan ilmu. Ilmu pula dicapai melalui jalan pendidikan atau pun disebut sebagai tarbiyyah apabila kita sedang berbicara dalam konteks harakiy.
Malangnya, saya melihat rata2 ahli gerakan mahasiswa pada hari ini tidak beraksi sebagai orang2 yang menerima tarbiyyah secukupnya. Saya berpandangan (dengan asas2 yang kuat) bahawasanya faktor terbesar keadaan ini terjadi ialah berlakunya kekeliruan besar pada soal tarbiyyah dalam gerakan itu sendiri.
Oleh itu, apa yang kita mampu lakukan buat masa ini ialah berusaha sendiri untuk mencari kebenaran. Jangan harapkan sangat tarbiyyah dalam gerakan, kerana ia benar2 sudah tidak dipandang utama. Biar sunyi sepi menjadi si pencari tahu, lebih baik daripada menjadi pemidato mengarut sana-sini.
Saya akui budaya lingkungan punya pengaruh kuat bagi membentuk diri seseorang. Ini ada disebut oleh pemikir Malek Bennabi. Namun, seorang pemuda yang benar2 berjiwa besar dan ikhlas ingin berjuang tidak akan ternoda dek kelemahan2 persekitarannya. Malah dia menguasai lingkungan dan mencorakkannya mengikut acuan kefahamannya!
Ingatlah wahai teman2 yang saya sangat2 sayangi, ilmu ialah unit paling kecil bagi membina pemikiran. Pemikiran berperanan menentukan sikap, tingkahlaku dan tindakan seseorang. Manakala akhlaq islami pula ialah buah ranum yang amat lazat, keadaannya sedang menanti untuk dipetik dan dinikmati.
Saya memohon seribu kemaafan andai ada hati yang terhiris dengan coretan ini. Tegurlah saya pada bila2 masa. Tiada guna bekerja dalam satu jemaah andai tiada tradisi tegur-menegur dan rasa mahu berubah.
Sekian. Mudah-mudahan ada manfaat bersama.
Selesai :
Thursday, October 15, 2009
Mahu Memanusiakan Semula Binatang Jadian
Nampak terang,
Sana-sini penuh sampah,
Orang kita lahir, hidup, mati di celahan sampah.
Aku jijik.
Aku palam dua lubang,
Ku pikir bisa diusir jauh aroma bangkai itu,
Rupanya tidak.
Mahu saja aku jadi bakul sampah,
Dalam kamar beradu si kaya budiman.
Tetapi,
Mereka langsung tak pandang aku.
Apa guna jadi bakul sampah?
Aku tadah kedua tangan;
“Ya ALLAHswt, Kau bukakanlah pintu2 hati kami”
Selesai di pagi 15/10/09. Guar Chempedak.
Monday, October 12, 2009
"Jalan-jalan cari ulamak"
Sepenuhnya benar kalam al-Attas yang menyebut bahawasanya permasalahan kaum muslimin pada hari ini berakar dari penyelewengan terhadap ilmu pengetahuan lalu melahirkan golongan yang tak punya adab. Pemikiran al-Attas ini memang bersangatan cocoknya dengan isu2 ummat Islam hari ini malah melampaui masalah2 yang menimpa tamadun Barat bertimpa-timpa. Lantas epistemologi (falsafah ilmu) Islam perlu kita fahami seutuhnya. Ini tersangat penting dan utama. Kalau tidak, kita jadi makhluk bingung atau pun “bengong” serta menjadi-jadi pula sikap bodoh-keliru-sombong dalam diri kerana mudah terpesona akan keseni-rasaan tamadun kehaiwanan Barat. “Faham Adab” yang dirumus khas oleh Al-Attas sebagai jalan keluar dari kebingungan ini juga seharusnya kita hayati selain sejarah orang-orang dahulu (yang lebih objektifnya disini sejarah Melayu) kerana mereka berada di rantai persejarahan yang lebih hampir dengan tradisi keilmuan Islam hakiki berbanding dengan zaman letak-duduknya kita. Inilah perbedaan nasib sejarah. Kita akur tetapi dalam masa yang sama mengakui sentiasa wujud “rantai” lain anugerah ALLAHswt buat ummat Muhammad saw. Baginda saw meninggalkan kita dua rujukan autentik secara langsung : Al-Quran dan As-Sunnah serta secara tidak langsung : Al-Ulamak (“Ulamak pewaris nabi”-HR Muslim). Bukankah alQuran itu kandungannya didominasi oleh sejarah ? Pandanglah jauh kebelakang (sejarah) untuk mendapatkan pandangan nan saujana di hadapan. Untuk itu mari kita fikirkan sedalamnya persoalan ini : Sejauh mana gunanya cermin pandang belakang pada seorang pemandu ?
Okey. Kita masuk tajuk.
Baru-baru ini (6-9 Oktober 09) saya mengikuti Program Jaulah Ulamak 09 anjuran Persatuan Anak Sebelah Utara (PAKSU) Darul Quran. Sedari awal sudah membara keghairahan untuk menjejak ulamak2 di Malaysia yang masih berpegang dengan aliran tradisi keilmuan Islam silam. Almaklum, keghairahan itu terlebih dahulu dijelmakan oleh pembacaan sendiri serta faktor seorang sahabat di PKPIM. Terima kasih khas buat saudaraku tercinta Fazril. Berkenaan program ini, dengan tegasnya saya berkata bahawa sesungguhnya inilah antara program yang paling memberi kesan mendalam buat diri saya dan saya sangat menikmatinya. Hal ini disokong kuat oleh hati saya sendiri. Secara keseluruhannya, memang saya berpuas hati dengan perjalanan program serta apa yang lebih penting pencapaian matlamat program. AlhamdulILLAH. Saya benar2 berharap setiap peserta serta ajk program turut menjiwai program ini setelusnya.
Kami dijadualkan melawat lima buah pondok pengajian serata Kedah serta Perak. Antaranya termasuk Madrasah Ar-Rahmaniyyah, Sik, Kedah, pondok yang dipimpin Tuan Guru Hj Salleh Hj Musa. TG Hj Salleh merupakan antara ulamak tersohor di bumi jelapang padi. Masyhur beliau dengan gelaran “Bapak Tauhid” lantaran keilmuan dalam ilmu itu. Pernah berguru dengan tiga orang ulamak tersohor Melayu yang berpeluang mengajar di Masjidil Haram iaitu Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili Al-Indonesia, Syeikh Yasin Fadani, dan Syeikh Wan Ismail Al-Fathani selain ulamak2 besar di tanah air seperti Tuan Hussein Kedah di Pulau Pinang, Pak Chu Him di Kedah serta berguru juga beliau dengan ayahandanya sendiri iaitu anak murid Tok Kenali. Pondok2 lain yang dikunjungi ialah Madrasah Az-Zuhdiyyah di Baling (Tuan Guru Hj. Rafaei b. Yaakob), Madrasah Ad-Diniyyah Al-Latifiah di Pengkalan Hulu (Tuan Guru Hj. Abd. Latif b. Abd. Rahman), Madrasah As-Syafi’iyyah di Jitra (Tuan Guru Ust. Khairul Anuar b. Syaf’ie) dan Madrasah di Sg. Karangan, Kulim (Tuan Guru Ust. Adnan). Banyak sekali mutiara2 nasihat yang kami tadah daripada tuan guru - tuan guru ini.
Sebaik sahaja menjejaki tanah bumi Kedah, rombongan kami yang seramai 48 orang menziarahi dahulu rumah Ustaz Tahir di Sungai Petani. Beliau merupakan seorang alim yang turut berpegang teguh dengan sistem pengajian ilmu yang diambil secara talaqqi (mengadap guru). Di sini saya mahu menulis satu juzuk kecil kata-kata Ustaz Tahir pada pagi itu (lebih kurang) :
“….saya nak jelaskan definisi ulamak di Nusantara. Kalau ‘alim besar, di Kelantan di panggil Tok Ayah. Tok guru saya orang panggil Tok Ayah Zid. Kat Pattani pun sama. Kalau di Jawa dipanggil Pak Kiyai. Kalimantan-Tuan. Cth-Tuan Hussein Kedah, keturunan Banjar. Ini semua maqam2 yang tinggi kedudukannya. Tak boleh orang lain kongsi. Ulamak-jamak kpd alim. Tetap bila disebut ulamak di sini, orang yang banyak ilmu. Iradah bil ma’na, bukan bil lafzi. Allamah-orang yang sangat alim juga orang yang sangat dalam berfikir. Fahhamah. Atas wazan fa’’alah. Bahrul fahhamah, ada dalam kitab kat depan2. Hari ini yang dianggap alim ialah mereka yang ada phd. Bukan allamah. Siapakah allamah sebenar? Allamah ini orang yang lengkap dalam dirinya segala macam ilmu. Al-Quran serta As-sunnah. Juga aqidah, feqah serta tasawuf. (3 ilmu asas).. juga ilmu alat yg 12 termasuk arudh, mantiq, nahu, balaghah, badi’, ma’ani dll. Hari ini sudah berlaku penjuzukan ilmu. Orang yang ada phd, sebenarnya dia hanya tau pada juzuk kecil sahaja dari ilmu2 Islam yang luas. Kita tanya dia bab lain, dia taktau….”
Saya fikir, kita mampu mengesan idea yang ingin disampaikan oleh Ustaz Tahir.
Ada sesuatu yang menarik saya mahu kongsi ;
Untuk program Jaulah Ulamak 09, kami ditentatifkan untuk melawat seseorang. Di Pokok Sena, Kedah ada seorang alim, zuhud lagi misteri. Misteri bagi saya kerana telah banyak kali saya mendengar perkhabaran kehebatan beliau termasuk dari mulut ustaz yang saya letakkan thiqah yang tinggi padanya iaitu Al-Fadhil Ustaz Muhadir b. Joll di UIA tetapi saya masih belum berpeluang berhadapan dengan alim ini. Dikhabarkan bahawasanya Pak Su Mid ini berpuasa sunat setiap hari, khatam al-Quran 3 hari sekali, serta apabila bertutur kata-katanya tersusun rapi. Pernah menerima kunjungan Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari, iaitu ulamak terkenal pada hari ini. Sebenarnya saya paling teruja apabila Ust. Zainol Asri b. Ramli (pensyarah KIDU) mengungkapkan bahawa Pak Su Mid ni berpegang dengan mazhab Ibn Arabi (kurun ke-13M). Asy-Syaikh Al-Akbar Ibn Arabi, sosok yang kenamaan serata dunia Islam bersama-sama karya monumental beliau, Futuhat Al-Makkiyyah (penyingkapan-penyingkapan dari Makkah) serta Fusus Al-Hikam (serpihan-serpihan kebijaksanaan). Seorang ahli sufi suci serta filosof bijak bestari. Di Nusantara pula, Syeikh Hamzah al-Fansuri (abad ke-16M) dikenal sebagai penyambung gagasan Ibn Arabi serta pemula tradisi kesufian di sini. Hamzah al-Fanshuri terkenal dengan syair2 sufi beliau serta pelopor kepercayaan “Wahdatul Wujud” yang kontroversial itu. Al-Attas pula menyifatkan Al-Fanshuri sebagai manusia perintis kesusasteraan Melayu moden yang memancarkan keluhuran unsur2 pemikiran dan tasawuf dalam karya2 puitis beliau. Segala hal ini membuatkan hati saya menduga Pak Su Mid ini merupakan saki-baki pewaris aliran Al-Fanshuri yang masih hidup. Jiwa saya meronta buas mahu berhadapan serta berbicara dengan beliau. Namun apakan daya, pihak pengurusan terpaksa membatalkan lawatan ke rumah Pak Su Mid atas alasan tertentu. Saya redha, sedar dan mengakui diri ini terlalu kotor dan busuk untuk memijakkan kedua kaki ke tanah halaman mendiamnya sang alim yang bersih hati.
1- WAJIB BAGI KITA MENCINTAI ILMU DAN ULAMAK
2- TIDAK DIAMBIL ILMU MELAINKAN DARI MULUT ULAMAK
Penutup dan rumusan
Kesimpulan penting Al-Attas ialah : Islamlah yang bertanggungjawab sepenuhnya membina tamadun Melayu di Nusantara, membimbing mesra alam Melayu keluar dari daerah tahyul, mitos, serta khayalan karut tanpa segan-silu memasuki daerah yang terang-benderang dengan cahaya aqliyyah serta ruhiyyah. Komposisi Melayu-Islam terbentuk, sebati dan langsung naik tinggi ke puncak keagungan ketamadunan. Islam benar2 umpama sebuah sayap perkasa yang baharu tumbuh pada jasad alam Melayu mengupayakan jasad itu terbang tinggi ke angkasaraya jauh meninggalkan daratan berpenghunikan tahyul kehantuan.
Sebelum tammat, renung dulu madah al-Attas:
Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa,
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia;
Penyimpan Khabar zaman yang Lalu menambah lagi
Pada umurnya umur berulang berkali-ganda.
"Aku hamba,aku khalifah"
Selesai hari Isnin, 12/10/09. Guar Chempedak.
